MALAYSIA
Malaysia terajui AI serantau menerusi KL AI Takeover Week, Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025

Malaysia bakal jadi tumpuan teknologi sempena KL AI Takeover Week dan Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 Ogos ini. - Gambar/ AI Malaysia Summit
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi pusat tumpuan dunia teknologi apabila dua acara berprestij yang memfokuskan kepada kecerdasan buatan (AI) berlangsung serentak pada Ogos ini.
Ringkasan AI
- Malaysia jadi tuan rumah dua acara AI utama: KL AI Takeover Week (10-14 Ogos) dan Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 (12-13 Ogos di MITEC) akan menjadikan Kuala Lumpur pusat perhatian dunia dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
- Sidang kemuncak libatkan pemimpin dan syarikat besar: Lebih 1,500 peserta termasuk pemimpin ASEAN, pakar teknologi dan tokoh antarabangsa akan membincangkan isu penting seperti keselamatan digital, bakat serantau dan dasar AI yang seimbang.
- Sasar Malaysia sebagai hab AI ASEAN: Acara ini menyokong matlamat Malaysia menjadi hab AI serantau menjelang 2030, dengan pelbagai aktiviti untuk umum serta penyertaan pemimpin muda dalam Youth Caucus.
KL AI Takeover Week akan bermula dari 10 hingga 14 Ogos, membawa pelbagai aktiviti dan demonstrasi AI ke ruang awam di beberapa lokasi ibu negara, manakala Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 pula berlangsung pada 12 dan 13 Ogos bertempat di MITEC, Kuala Lumpur.
KL AI Takeover Week akan mengubah wajah ibu kota kepada ‘makmal terbuka AI’, dengan pelbagai aktiviti awam seperti bengkel pengaturcaraan, sesi kolaboratif, pertunjukan teknologi dan pameran syarikat pemula.
Ia terbuka kepada pelajar, pembangun teknologi, pemilik syarikat permulaan dan orang ramai yang ingin memahami serta melihat sendiri keupayaan AI dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengambil peranan penting dalam membentuk landskap transformasi digital rantau ini melalui penganjuran Sidang Kemuncak AI ASEAN.
Ia dianjurkan oleh Kementerian Digital Malaysia dengan kerjasama Pejabat AI Nasional (NAIO) dan MyDIGITAL Corporation.
Ia turut mendapat sokongan padu daripada Sekretariat ASEAN, Yayasan ASEAN serta syarikat-syarikat teknologi utama seperti Grab, Google, Alibaba Cloud, McKinsey dan 500 Global.
Lebih 1,500 peserta termasuk pemimpin negara ASEAN, pembuat dasar, pemain industri teknologi, akademik serta wakil pertubuhan masyarakat sivil dijangka menghadiri sidang ini.
Turut dijangka hadir tokoh-tokoh kerajaan Malaysia seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi mengukuhkan komitmen negara dalam menerajui hala tuju pembangunan AI yang bertanggungjawab dan berimpak rakyat.
Barisan penceramah antarabangsa turut memberi warna kepada persidangan ini, termasuk Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn; pakar aeroangkasa Mishaal Ashemimry; Ketua Pegawai Teknologi Grab Suthen Thomas Paradatheth; wakil Oxford Insights, Richard Stirling; wakil Imperial College, David Shrier dan wakil 500 Global, Khailee Ng.
Ia akan memberi tumpuan kepada isu-isu utama seperti kedaulatan data, keselamatan digital, pembangunan bakat serantau, serta keperluan mewujudkan dasar dan kerangka peraturan AI yang seimbang antara negara-negara ASEAN.
Selain sesi pleno dan panel, acara ini turut merangkumi Pameran Perdagangan AI ASEAN dan Youth Caucus yang bakal menghimpunkan lebih 80 pemimpin muda dari seluruh Asia Tenggara untuk membincangkan masa depan AI yang inklusif dan adil.
Melalui penganjuran acara ini, Malaysia mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju agenda digital serantau, selaras dengan matlamat untuk menjadi hab AI ASEAN menjelang 2030.
Penganjur menyasarkan agar wacana dan jaringan yang tercetus di Kuala Lumpur ini mampu membentuk dasar serta strategi serantau yang berpandukan kesejahteraan masyarakat.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh mengunjungi laman rasmi sidang di www.aimalaysiasummit.gov.my.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami