MALAYSIA
822 babi dijangkiti ASF di Tasek Gelugor telah dilupuskan - JPVPP

JPVPP menyiasat ladang yang gagal melaporkan kematian luar biasa dan sedang mencari tapak pelupusan sesuai. - Gambar hiasan/Bernama
TASEK GELUGOR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) telah melupuskan 822 ekor babi dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) yang melanda tiga ladang ternakan itu di Kampung Selamat, di sini hingga semalam.
Ringkasan AI
- Pelupusan 822 Babi Dijangkiti ASF di Kampung Selamat: JPVPP melupuskan 578 babi hidup dan 244 babi mati yang dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) di tiga ladang ternakan yang disahkan positif sejak 7 Julai 2025.
- Langkah Kawalan dan Pemantauan Ketat: Sekatan pemindahan babi ke rumah sembelih ditetapkan, pensampelan aktif dan kawalan biosekuriti dipertingkat bagi mengelak penularan ke ladang lain.
- Siasatan dan Tapak Pelupusan Baharu: JPVPP menyiasat ladang yang gagal melaporkan kematian luar biasa dan sedang mencari tapak pelupusan sesuai untuk babi dijangkiti.
"Hingga 12 Julai lepas tiada ladang baharu dilaporkan positif ASF dan kekal tiga ladang sahaja namun pihak kami terus melakukan pemantauan rapi bagi memastikan tiada penularan penyakit tersebut di ladang babi lain di Kampung Selamat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, beliau berkata pihak JPVPP telah dan sedang melaksanakan langkah membendung penyakit ASF itu, antaranya sekatan dan larangan pemindahan babi dari ladang terlibat mengikut rumah sembelih yang ditetapkan.
Dr. Saira Banu berkata pemantauan dan pensampelan aktif diteruskan di rumah sembelih babi dan ladang serta peningkatan kawalan biosekuriti serta kesedaran kepada penternak.
Beliau berkata JPVPP turut menjalankan siasatan lanjut terhadap ladang yang gagal melaporkan kematian haiwan itu dan sedang mencari tanah yang sesuai untuk tapak pelupusan babi yang mati atau dilupuskan selepas dijangkiti ASF.
Sebelum ini media melaporkan tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat di sini disahkan positif penyakit ASF berdasarkan keputusan ujian makmal oleh Makmal Veterinar Zon Utara.
Dua ladang menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi dan menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penularan penyakit tersebut ke ladang lain di kawasan berdekatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami