KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah pada urus niaga Selasa di tengah-tengah sentimen berhati-hati menjelang pembentangan semula Belanjawan 2023 pada Jumaat ini.

Pada 9.14 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.10 mata kepada 1,473.36 daripada penutup Isnin 1,473.46, selepas dibuka 0.65 mata lebih tinggi pada 1,474.11.

Bagaimanapun, pergerakan pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 167 berbalas 152, manakala 284 kaunter tidak berubah, 1,621 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan yang dicatatkan adalah 354.53 juta unit bernilai RM112.68 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pembentangan semula Belanjawan 2023 pada hari Jumaat akan terus menjadi tumpuan utama dalam kalangan pelabur.

"Sektor tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan pembinaan dijangka memperoleh momentum sebelum pembentangan semula Belanjawan 2023," katanya.

Ia menambah pelabur dijangka terus memantau ketegangan geopolitik kerana Kesatuan Eropah berhasrat untuk menerima pakai pelbagai sekatan baharu terhadap Rusia minggu ini selain lawatan Presiden Amerika Syarikat Biden ke Ukraine.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Bursa - CIMB menokok satu sen kepada RM5.43, Maybank dan Petronas Chemicals tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM8.74 dan RM8.20, manakala Public Bank susut satu sen menjadi RM4.15 dan TNB turun satu sen kepada RM9.85.

Bagi saham aktif, EG Industries meningkat 17 sen kepada RM1.03 sen, Revenue Group meningkat setengah sen menjadi 50.5 sen dan Zen Tech International kekal tidak berubah pada 3.5 sen, manakala MMAG Holdings turun setengah sen kepada dua sen dan Barakah Offshore susut satu sen menjadi kepada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 6.11 mata kepada 10,718.72, Indeks FBMT 100 turun 6.88 mata menjadi 10,385.90 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 11.27 mata kepada 11,063.51.

Sementara itu, indeks FBM 70 lebih rendah 35.45 mata kepada 13,496.31 dan Indeks ACE FBM meningkat 33.98 mata kepada 5,636.92.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 3.70 mata kepada 6,810.73 dan Indeks Tenaga lemah 0.7 mata menjadi 877.14, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 187.83 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 3.83 mata kepada kepada 16,069.18.

-- BERNAMA