KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sekali lagi selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) AS tidak menurunkan kadarnya dalam masa terdekat berikutan data ekonomi yang kukuh baru-baru ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.26 mata kepada 1,549.14 daripada 1,552.40 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.69 mata kepada 1,550.71.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 180 berbanding 140 manakala 274 kaunter tidak berubah, 1,723 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 226.58 juta unit bernilai RM66.76 juta.

Susulan minit mesyuarat dikeluarkan, Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan merumuskan persekitaran kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama akan berterusan dengan Fed dijangka akan mula menurunkan kadar pada separuh kedua tahun ini.

"Bulan lepas, kebanyakan pegawai Fed menyatakan kebimbangan mengenai pergerakan yang terlalu cepat untuk menurunkan kadar faedah.

"Minit mesyuarat FOMC sebelum ini menunjukkan penggubal dasar peka terhadap trajektori inflasi, dengan sebahagian menyuarakan kebimbangan bahawa kemajuan ke arah sasaran inflasi 2.0 peratus oleh bank pusat boleh terjejas," katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM11.28, IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM6.17 dan PPB susut 16 sen kepada RM15.34.

YTL dan Maxis pula, masing-masing meningkat satu sen kepada RM2.23 dan RM3.80.

Bagi saham aktif, Reneuco naik satu sen kepada 10.5 sen, Hong Seng meningkat setengah sen kepada 2.5 sen dan Avaland menambah 2.5 sen kepada 29 sen manakala TWL dan Datasonic, masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan 47.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 12.55 mata kepada 11,509.28, Indeks FBMT 100 merosot 12.99 mata kepada 11,162.98, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 10.56 mata kepada 11,572.25 dan Indeks FBM ACE jatuh 7.02 mata kepada 4,830.47 manakala Indeks FBM 70 naik 25.06 mata kepada 15,540.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 23.62 mata kepada 17,352.54, Indeks Perladangan susut 1.09 mata kepada 7,327.77, Indeks Tenaga berkurangan 0.53 mata kepada 934.24 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.19 mata kepada 177.47 manakala Indeks Hartanah naik 1.43 mata kepada 926.30.

-- BERNAMA