BISNES
Bursa Malaysia dibuka rendah

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.28 mata kepada 1,596.19 daripada 1,598.47 semasa ditutup semalam.
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring dengan penurunan di Wall Street berikutan kebimbangan mengenai penilaian mengatasi data ekonomi yang kukuh walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) mencapai paras tertinggi dalam tempoh dua tahun.
Ringkasan AI
- FBM KLCI dibuka rendah pada 1,596.19 mata, seiring penurunan Wall Street akibat kebimbangan penilaian walaupun ekonomi AS berkembang kukuh 3.8% pada suku kedua.
- Pasaran tempatan negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung (198 berbanding 108), jumlah dagangan 137.29 juta unit bernilai RM56.30 juta.
- Sektor utiliti dan teknologi dijangka menarik minat belian berikutan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan pemulihan teknologi, manakala saham wajaran tinggi bercampur-campur.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 198 berbanding 108, sebanyak 272 kaunter tidak berubah, 2,650 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 137.29 juta unit bernilai RM56.30 juta.
Ekonomi AS berkembang kukuh sebanyak 3.8 peratus pada suku kedua, menurut semakan akhir data KDNK bagi tempoh April hingga Jun.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan, aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka dalam sektor terpilih seperti utiliti, disokong oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang sedang dilaksanakan dan langkah-langkah menaik taraf grid tenaga oleh Tenaga Nasional manakala sektor teknologi pulih selepas tempoh konsolidasi yang panjang.
"Kami terus memilih Itmax System Bhd selepas syarikat itu meraih kontrak terkini yang telah mengukuhkan asas pendapatan berulangnya, sekali gus menawarkan pendapatan yang kukuh untuk tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, PPB Group merosot 32 sen kepada RM10, CIMB Group berkurangan empat sen kepada RM7.20, Gamuda susut lima sen kepada RM5.62 manakala Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing menambah satu sen kepada RM9.80 dan RM7.38 serta Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM13.22.
Dalam dagangan aktif, NexG Bina dan NexG, masing-masing merosot setengah sen kepada 9.5 sen dan 51 sen, Ireka Corp berkurangan 11.5 sen manakala Pegasus Heights dan ICT Zone Asia, masing-masing tidak berubah pada setengah sen dan 21 sen.
Kaunter paling rugi termasuklah Nestle merosot empat sen kepada RM96.20, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 18 sen kepada RM20.08, Batu Kawan susut 16 sen kepada RM18.76, Ireka Corp menurun 11.5 sen kepada setengah sen dan UMS Holdings berkurangan 11 sen kepada RM1.88.
Kaunter paling untung ialah UMS Integration naik 27 sen kepada RM4.98, LPI Capital meningkat 14 sen kepada RM14.24, Petronas Gas menambah 12 sen kepada RM18.56, Petronas Dagangan naik lapan sen kepada RM22.20 dan IGB meningkat lapan sen kepada RM3.30.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 18.42 mata kepada 11,922.00, Indeks FBM 100 berkurangan 18.85 mata kepada 11,649.48, Indeks FBM Emas Shariah merosot 19.54 mata kepada 11,998.02, Indeks FBM 70 susut 36.71 mata kepada 16,820.77 dan Indeks FBM ACE berkurangan 2.08 mata kepada 5,149.18.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.33 mata kepada 171.75, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 14.85 mata kepada 18,016.35, Indeks Perladangan berkurangan 8.78 mata kepada 7,749.03 manakala Indeks Tenaga naik 1.79 mata kepada 781.70.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami