KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tidak meneruskan peningkatan yang diraih semalam apabila dibuka lebih rendah pagi ini selepas prestasi negatif Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 8.16 mata kepada 1,531.11 daripada 1,539.27 semasa ditutup semalam. Indeks penanda aras itu dibuka rendah 1.35 mata kepada 1,537.92.

Di pasaran lebih luas, sentimen adalah rendah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 222 berbanding 139, manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,625 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 244.01 juta unit bernilai RM134.71 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, Wall Street menyusut apabila peniaga berhenti seketika selepas meraih rekod yang didorong oleh kerancakan aktiviti kecerdasan buatan.

"Selain itu, (tumpuan telah) beralih kepada kemas kini Rizab Persekutuan AS (sambil mereka berusaha) menilai prospek kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Thong berkata sentimen pasaran telah berubah kepada berwaspada dengan pelabur mencari petunjuk baharu.

"Oleh itu kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,545-1,555 hari ini kerana jumlah dagangan harian telah menyusut ke paras tiga bilion saham," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menyusut empat sen kepada RM9.56, CIMB berkurangan enam sen kepada RM6.39, Public Bank susut dua sen kepada RM4.29, Tenaga Nasional rendah empat sen kepada RM11.06 dan Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM6.85.

Bagi saham aktif, Velesto Energy dan Sapura Energy masing-masing susut setengah sen kepada 28.5 sen dan 4.5 sen, manakala Harvest Miracle Capital tidak berubah pada 14 sen, Ekovest naik 1.5 sen kepada 46.5 sen dan Iskandar Waterfront City menambah 4.5 sen kepada 78 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 51.90 mata kepada 11,365.19, Indeks FBMT 100 menyusut 54.35 mata kepada 11,029.96 dan Indeks FBM ACE berkurangan 3.60 mata kepada 4,746.76.

Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 48.48 mata kepada 11,395.01 dan Indeks FBM 70 susut 57.22 mata kepada 15,342.90.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 84.68 mata kepada 17,168.85, Indeks Perladangan berkurangan 48.42 mata kepada 7,247.68 dan Indeks Tenaga menyusut 5.36 mata kepada 908.40.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.69 mata kepada 175.00.

-- BERNAMA