KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dan diniagakan berhati-hati, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah susulan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.70 mata kepada 1,501.50 daripada 1,501.57 sewaktu ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.79 mata kepada 1,500.78.

Bagaimanapun, suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 148 berbanding 119, manakala 184 kaunter tidak berubah, 1,881 tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 153.77 juta unit bernilai RM60.59 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota berkata, sentimen pasaran global dijangka kekal berhati-hati disebabkan kebimbangan yang berterusan mengenai kenaikan kadar faedah yang akan datang susulan pendirian kukuh Rizab Persekutuan kepada kecenderungan meningkatkan kadar faedah.

Dalam negara, kenaikan inflasi Malaysia pada Julai mungkin menyebabkan berlakunya satu lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia, katanya.

Malacca Securities berkata, dari segi komoditi, harga minyak mentah melonjak melepasi paras US$105 setong, manakala minyak sawit mentah (MSM) diniagakan melebihi RM4,200.

"Bagi sektor yang menjadi tumpuan, Wall Street kekal dalam sentimen lemah semalaman, tekanan jualan mungkin berterusan dalam sektor teknologi, namun, belian semasa harga rendah mungkin berlaku. Dalam persekitaran kitaran meningkat OPR pula, ia boleh memanfaatkan kaunter-kaunter perbankan.

"Kami turut menyaksikan potensi kenaikan dalam sektor tenaga berikutan harga minyak mentah meningkat semula melebihi AS$105," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing susut satu sen kepada RM8.92 dan RM5.38, IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM6.31, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.64 dan Petronas Chemicals menokok sembilan sen kepada RM8.99.

Dalam kalangan saham aktif, Vortex dan Bumi Armada masing-masing meningkat satu sen kepada 19 sen dan 42.5 sen, Dagang Nexchange dan Agmo masing-masing menokok 1.5 sen kepada 86.5 sen dan 93.5 sen, manakala AHB Holdings tidak berubah pada 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.08 mata kepada 10,640.58, Indeks FBMT 100 menambah 14.13 mata kepada 10,391.0, FBM 70 naik 76.27 mata kepada 12,699.93 dan FBM ACE naik 17.09 mata kepada 4,898.89 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 30.23 mata kepada 10,763.57.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 0.70 mata kepada 7,107.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.75 mata kepada 183.67 dan Indeks Tenaga naik 11.47 mata kepada 734.57,manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.23 mata kepada 16,705.16.

-- BERNAMA