KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit sebelum bertukar positif dalam mod dagangan bercampur-campur serta berhati-hati pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman di Wall Street.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.56 mata pada 1,597.35 daripada penutupan Selasa iaitu 1,596.79.

Pada pembukaan, indeks utama itu dibuka rendah sebanyak 0.67 mata kepada 1,596.12.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung 217 berbalas 114 manakala 287 kaunter tidak berubah, 1,618 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 200.07 juta bernilai RM87.97 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI menyaksikan satu lagi sesi penyusutan dalam keadaan kegiatan pengambilan untung yang berterusan bagi saham wajaran tinggi perbankan dan telekomunikasi semalam.

"Sementara itu, sentimen global mungkin kekal rapuh di tengah-tengah kebimbangan mengenai pendirian yang lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS untuk mengurangkan inflasi.

"Selain itu, kami menjangkakan ketegangan yang masih tidak dapat diselesaikan antara Rusia dan Ukraine boleh mengehadkan potensi peningkatan dalam tempoh terdekat.

"Namun, kami menjangkakan pembukaan semula sempadan perjalanan mungkin terus memberi manfaat kepada ekonomi, manakala pelabur boleh bersiap sedia menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) walaupun garis masanya masih tidak pasti," katanya.

Di pasaran komoditi pula, kedua-dua harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi walaupun terdapat penurunan yang sederhana semalaman.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, firma pembrokeran itu berkata peniaga mungkin terus menumpukan perhatian kepada pada minyak dan gas, serta perladangan dalam situasi kenaikan harga minyak Brent dan MSM.

"Sementara itu, sektor bertemakan pemulihan seperti pengguna, perbankan, pengangkutan dan logistik serta penerbangan mungkin mendapat manfaat berikutan pembukaan semula sempadan. Selain itu, minat dagangan mungkin meningkat pada sektor pembinaan dan bahan binaan menjelang PRU15," tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.87, IHH Healthcare naik satu sen kepada RM6.28, CIMB Group memperoleh dua sen RM5.29, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah, masing-masing pada RM4.70 dan RM9.85.

Bagi saham aktif, Dagang Nexchange susut dua sen kepada RM1.09, Sapura Energy lemah setengah sen kepada empat sen, Techna-X naik setengah sen kepada sembilan sen, Pappajack menokok satu sen kepada 50.5 sen, manakala SMTrack tidak berubah pada lapan sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 10.39 mata kepada 11,138.67, Indeks FBM Emas menguncup 11.73 mata kepada 11,481.89 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 25.11 mata kepada 12,114.87.

FBM 70 pula jatuh 70.88 mata kepada 13,956.14 dan FBM ACE susut 13.72 mata kepada 5,850.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.14 mata kepada 209.94, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 7.07 mata kepada 16,727.03 manakala Indeks Perladangan turun 1.09 mata kepada 8,172.18.

-- BERNAMA