KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada sesi awal dagangan pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman Wall Street selepas harga minyak mentah melonjak tinggi, kata seorang penganalisis.

Pada 9.24 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.96 mata kepada 1,426.65 daripada 1,429.61 penutup semalam.

Indeks utama dibuka pada paras 1,429.29, turun 0.32 mata.

Pergerakah harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 202 berbalas 179, manakala 243 kaunter tidak berubah, 1,592 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 437.74 juta unit bernilai RM183.18 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah apabila kebimbangan berkenaan inflasi muncul semula di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah.

Di pasaran tempatan, beliau berkata bursa tempatan dijangka lemah berikutan sentimen bercampur-campur, dengan indeks berlegar dalam julat 1,425-1,435.

"Saham perladangan mungkin menjadi tumpuan hari ini memandangkan harga minyak sawit mentah telah melantun semula ke paras tertinggi dua minggu pada hampir RM4,000 satu tan," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.63, Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB kesemuanya susut satu sen, masing-masing mencatatkan RM3.99, RM7.21 dan RM5.32, manakala TNB turun empat sen menjadi RM9.21 .

Bagi saham aktif, Revenue peroleh dua sen kepada 27.5 sen, Jade Marvel naik setengah sen kepada 31.5 sen, Pesona Metro menambah satu sen menjadi 24 sen dan Cypark susut 3.5 sen kepada 81 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 12.40 mata kepada 10,480.23, Indeks FBMT 100 kerugian 11.34 mata kepada 10,164.66 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 4.20 mata kepada 10,790.41.

Indeks FBM 70 meraih 25.15 mata kepada 13,670.73 dan Indeks FBM ACE turun 11.39 mata kepada 5,318.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 24.04 mata kepada 15,755.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.38 mata kepada 172.78, Indeks Perladangan mengukuh 26.44 mata kepada 6,734.02 dan Indeks Tenaga merosot 2.88 mata kepada 872.82.

-- BERNAMA