Ringkasan AI
- Datuk Jack Liam, bekas Kontroler Kualiti Alam Sekitar NREB, dicalonkan GPS untuk kerusi N80 Batu Danau pada pilihan raya negeri Sarawak.
- Beliau berpengalaman 30 tahun dalam perkhidmatan awam Sarawak dan berkelulusan Sarjana Pengurusan Alam Sekitar dari UNIMAS.
- Jack menegaskan komitmen memastikan pembangunan adil dan saksama untuk semua komuniti di kawasan Batu Danau.
KUCHING: Selepas tiga dekad menabur bakti dalam perkhidmatan awam negeri Sarawak, bekas Kontroler Kualiti Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Datuk Jack Liam kini membawa pengalaman itu ke gelanggang politik sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi N80 Batu Danau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Anak jati Kampung Bidang, Limbang itu menganggap peluang berkenaan sebagai pengalaman baharu, selain berterima kasih kepada kepimpinan GPS atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili kawasan yang turut menjadi tempat beliau membesar.
“Yang pastinya saya akan membuat penilaian terlebih dulu sebagai seorang calon baru, apakah pembangunan yang telah diadakan, yang telah dilaksanakan, dan yang sedang dalam pelaksanaan dan juga apa lagi yang diperlukan, pembangunan-pembangunan yang diperlukan di kawasan Batu Danau.
“Selepas itu kita akan membawalah ataupun mengenal pasti pembangunan-pembangunan yang perlu diangkat ataupun dilaksanakan di kawasan Batu Danau,” katanya kepada Astro AWANI.
Jack, 55, mempunyai rekod perkhidmatan selama 30 tahun dalam sektor awam negeri, merangkumi 27 tahun bersama Jabatan Hutan Sarawak dan tiga tahun tujuh bulan di NREB.
Lebih menarik, Batu Danau bukan kawasan asing baginya apabila beliau pernah mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Batu Danau sebelum meneruskan persekolahan menengah di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, di Miri.
Dari segi kelayakan akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dalam bidang Pengurusan Hutan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), selain Sarjana Pengurusan Alam Sekitar dengan pengkhususan Perancangan Pembangunan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 2005.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua komuniti di kawasan N80 Batu Danau.
Pada PRN Sarawak ke-12 tahun 2021, kerusi Batu Danau telah dimenangi GPS, Palu @ Paulus Palu Gumbang yang memperoleh 3,030 undi dengan majoriti 706 undi dalam pertembungan empat penjuru menentang Ali Adap (Parti Sarawak Bersatu), Racha Balang (Parti Keadilan Rakyat) serta Petrus Bulan (Parti Bumi Kenyalang).