KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi Jumaat ini rendah sedikit selepas kemerosotan dialami ekuiti Asia pada Khamis mencetuskan situasi berhati-hati walaupun Wall Street semalaman mencatatkan kenaikan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.99 mata, atau 0.34 peratus kepada 1,435.12 daripada 1,440.11 pada penutupan dagangan Rabu. Indeks dibuka 3.72 mata lebih rendah pada 1,436.39.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 188 berbalas 158 manakala 288 kaunter tidak berubah, 1,751 tidak diniagakan dan 98 digantung.

Jumlah dagangan 311.48 juta unit bernilai RM127.01 juta.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup semalam (Khamis) sempena sambutan Hari Maulidur Rasul.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih tinggi semalaman walaupun berhadapan banyak rintangan seperti hasil perbendaharaan yang tinggi dan kemungkinan penutupan kerajaan AS pada 1 Okt.

Purata Perindustrian Dow Jones menambah 116 mata manakala Nasdaq meningkat 108 mata apabila hasil Perbendaharaan 10 tahun AS turun kepada 4.579 peratus, rendah daripada paras tertinggi 16 tahun.

Di pasaran tempatan, FBM KLCI berakhir lebih rendah pada paras 1,440 pada hari urus niaga Rabu disebabkan kekurangan pemangkin baharu di tengah-tengah prestasi serantau yang bercampur-campur.

"Walaupun kami menjangkakan beberapa tahap kegiatan memburu saham murah akan kembali, suasana pasaran masih berhati-hati, justeru kami menjangkakan indeks berlegar antara 1,435 dan 1,445 hari ini," kata Thong kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM8.86, Public Bank turun satu sen menjadi RM4.13 dan CIMB berkurangan tiga sen kepada RM5.52.

Tenaga Nasional pula merosot tujuh sen kepada RM9.95 dan Petronas Chemicals lemah lima sen untuk mencatatkan harga RM7.17.

Bagi saham aktif, Evergreen menokok dua sen kepada 37 sen, Ekovest menambah satu sen kepada 57 sen, SWS mengembang setengah sen kepada 36.5 sen dan Systech meraih 1.5 sen pada 41 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 20.58 mata kepada 10,642.56, Indeks FBMT 100 turun 21.97 mata menjadi 10,304.86 dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 16.66 mata kepada 10,905.14.

Indeks FBM ACE lemah 8.73 mata kepada 5,149.94 manakala Indeks FBM 70 meningkat 29.97 mata kepada 14,197.22.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.20 mata kepada 172.46, Indeks Perladangan lebih rendah 2.19 mata kepada 6,879.05 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 39.85 mata kepada 16,083.78.

Indeks Tenaga meningkat 3.45 mata kepada 902.26.

-- BERNAMA