KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal dagangan hari ini, menggambarkan situasi semalaman yang tidak menentu di Wall Street dalam keadaan sentimen lemah, menurut seorang peniaga.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.94 mata kepada 1,416.14 daripada 1,426.08 sewaktu ditutup semalam. Ia dibuka rendah 4.65 mata kepada 1,421.43.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 211 berbanding 73, manakala 180 kaunter tidak berubah, 1,786 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 217.79 juta unit bernilai RM75.10 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ekuiti AS secara umumnya ditutup rendah disebabkan sentimen pelabur global yang kekal gelisah akibat pertumbuhan ekonomi yang lembap di tengah-tengah tekanan inflasi.

Dalam negara, beliau berkata sentimen pasaran terus suram seiring dengan prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur, dan FBM KLCI dijangka bergerak dalam jajaran 1,415-1,430 hari ini.

"Sementara itu, kebimbangan terhadap permintaan susulan sekatan pergerakan terkini di Shanghai serta inflasi telah menjejaskan harga minyak mentah Brent untuk merosot di bawah paras US$100," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM8.62, Petronas Chemicals rendah 10 sen kepada RM8.18, IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM6.39, manakala Public Bank dan CIMB masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM4.37 dan RM5.09.

Bagi saham aktif, Infoline Tec meraih 1.5 sen kepada 33.5 sen, Metronic kehilangan 1.5 sen kepada 6.5 sen, Reach Energy turun satu sen kepada tiga sen dan Hibiscus Petroleum susut enam sen kepada 79.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 62.12 mata kepada 10,053.96, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 74.23 mata kepada 10,082.68, FBM 70 rendah 50.39 mata kepada 12,054.25 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 62.35 mata kepada 9,814.81, manakala FBM ACE menokok 0.51 mata kepada 4,579.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 57.85 mata kepada 16,030.37, Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian rendah 1.61 mata kepada 168.60 dan Indeks Perladangan susut 30.71 mata kepada 6,689.22.

-- BERNAMA