KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Rabu berikutan indeks utama meningkat sebanyak 0.34 peratus berikutan momentum pembelian yang sederhana di kaunter saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 9.19 pagi, petunjuk pasaran FBM KLCI menambah 4.78 mata kepada 1,411.33 daripada 1,406.55 sewaktu ditutup pada Selasa, selepas dibuka meningkat 2.05 mata kepada 1408.60.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 280 berbanding 108, manakala 245 kaunter tidak berubah, 1,640 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 415.84 juta unit bernilai RM169.29 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota hari ini berkata, pihaknya menjangkakan keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada malam ini akan menjadi tumpuan utama dan pelabur akan kekal berhati-hati menjelang akhir mesyuarat tersebut memandangkan kenaikan kadar yang agresif daripada Fed diramal menjejaskan lagi sentimen pelabur.

Firma pembrokeran itu berkata kenaikan di Wall Street mungkin menawarkan sokongan kepada sektor teknologi tempatan, manakala sektor perbankan mungkin terus mendapat perhatian di tengah-tengah kebimbangan yang reda terhadap krisis perbankan di AS.

"Pelabur mungkin turut memihak kepada sektor tenaga berikutan peningkatan harga minyak mentah," katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa seperti Maybank naik empat sen kepada RM8.44, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.01, CIMB meningkat lima sen kepada RM5.24, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.82 dan IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM5.85.

Bagi saham aktif, Green Packet dan Tanco masing-masing menambah satu sen kepada 5.5 sen dan 47 sen,Top Glove naik setengah sen kepada 96.5 sen, Hong Seng Consolidated tidak berubah pada 13.5 sen dan Bintai Kinden turun setengah sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 40.17 mata kepada 10,330.95, Indeks FBMT 100 mengukuh 8.35 mata kepada 0,025.68, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 39.59 mata kepada 10,657.87.

Indeks FBM 70 turut menambah 69.49 mata kepada 13,359.94 dan Indeks FBM ACE meraih 47.54 mata kepada 5,308.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 49.77 mata kepada 15,583.85, Indeks Perladangan naik 7.03 mata kepada 6,759.35, Indeks Tenaga menambah 9.59 mata kepada 804.82 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.78 mata kepada 167.79.

-- BERNAMA