KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan dari Jumaat lepas untuk memulakan minggu ini dengan positif, didorong oleh momentum belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih dengan sentimen bercampur-campur dalam pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.41 mata kepada 1,542.27 daripada 1,539.86 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.15 mata kepada 1,542.01.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 216 berbanding 207 manakala 296 kaunter tidak berubah, 1,540 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities berkata pihaknya menjangka untuk menyaksikan pergerakan menaik yang sederhana dalam FBM KLCI dan FBM Small Cap berdasarkan sentimen lemah dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini.

"Walaupun kami menjangka pergerakan menaik akan terhad dalam tempoh terdekat, kami percaya minat belian akan berterusan dalam sektor perbankan dan perladangan -- sektor perladangan dijangka diniagakan kukuh dengan asas dagangan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) hampir RM4,100 satu tan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM9.76 dan RM4.30, CIMB dan Petronas Chemicals, masing-masing meningkat 6.0 sen kepada RM6.71 dan RM6.87 manakala Tenaga Nasional susut 8.0 sen kepada RM11.20.

Bagi saham aktif, Hong Seng naik setengah sen kepada 1.5 sen manakala Pegasus Heights, SMTrack dan Widad Group, masing-masing tidak berubah pada setengah sen, 5.0 sen dan 9.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 12.14 mata kepada 11,435.28, Indeks FBMT 100 menambah 12.61 mata kepada 11,100.66 dan Indeks FBM ACE meningkat 1.12 mata kepada 4,690.17 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 2.64 mata kepada 11,421.34 dan Indeks FBM 70 berkurangan 2.13 mata kepada 15,401.25.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.33 mata kepada 17,398.07 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.36 mata kepada 174.52 manakala Indeks Tenaga merosot 8.39 mata kepada 895.18 dan Indeks Perladangan berkurangan 11.41 mata kepada 7,327.74.

-- BERNAMA