KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada hari Isnin, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang positif pada Jumaat lepas, dirangsang data pekerjaan Amerika Syarikat yang kukuh, kata seorang peniaga.

Pada 9.31 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.29 mata kepada 1,420.17 daripada penutupan Jumaat lalu pada paras 1,416.88.

Indeks utama meningkat 0.18 mata untuk dibuka pada 1,417.06.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 266 berbalas 209, manakala 327 kaunter tidak berubah, 1,508 tidak diniagakan dan lapan digantung.

Jumlah dagangan 406.73 juta unit bernilai RM199.27 juta.

Menurut naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, untuk bulan September, data pekerjaan Amerika Syarikat menambah kepada 336,000, mengatasi jangkaan 170,000 dan sekali gus mengekalkan kadar pengangguran pada 3.8 peratus.

"Bagaimanapun, keadaan masih tidak jelas sama ada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan melaraskan kadar faedah kerana ramai menjangkakan ia akan mengekalkannya (tiada perubahan)," katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, beliau berkata walaupun FBM KLCI ditutup dalam zon positif Jumaat lepas, peniaga masih dalam sentimen berhati-hati.

"Namun begitu, kami percaya kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara mungkin diumumkan tidak lama lagi boleh merangsang minat belian dan menyokong bursa tempatan. Justeru, indeks utama dijangka berlegar antara julat 1,415-1,425 hari ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat satu sen kepada RM8.78, RM4.04 dan RM7.11, CIMB menokok tiga sen kepada RM5.45, manakala Tenaga Nasional susut tujuh sen kepada RM9.95.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 5.5 sen, Widad Group dan Sarawak Consolidated masing-masing susut setengah sen untuk mencatatkan harga 53 sen dan 49.5 sen, manakala Tanco dan Kinergy Advancement tidak berubah pada 55.5 sen dan 33.5 sen .

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 24.47 mata kepada 10,528.31, Indeks FBMT 100 menambah 24.12 mata menjadi 10,193.76 dan Indeks FBM Emas Syariah peroleh 19.82 mata kepada 10,813.91.

Indeks FBM ACE turut meraih 3.87 mata kepada 5,154.38 dan Indeks FBM 70 meningkat 35.40 mata kepada 14,027.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 35.46 mata kepada 15,905.05, Indeks Tenaga menambah 16.88 mata kepada 866.82, dan Indeks Perladangan mengukuh 25.22 mata kepada 6,862.42.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.04 mata kepada 170.78.

-- BERNAMA