ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu mengharungi jadual perlawanan yang padat meskipun berdepan tempoh pemulihan yang terhad, kata ketua jurulatihnya, Xisco Munoz.
Beliau berkata pemain perlu bersedia memenuhi tuntutan beraksi untuk sebuah kelab besar yang bersaing pada tahap tertinggi, termasuk menguruskan kecergasan bagi menghadapi jadual perlawanan yang mencabar.
Menurut Munoz, meskipun jadual padat memberikan cabaran tersendiri, keadaan itu merupakan sebahagian daripada tuntutan yang perlu dihadapi pasukan seperti JDT.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama erat dalam kalangan barisan kejurulatihan bagi memastikan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik dan mengurangkan risiko kecederaan.
“Penyelarasan rapat dengan barisan kejurulatihan amat penting dalam menguruskan kecergasan pemain, lebih-lebih lagi apabila kami bakal menghadapi satu lagi perlawanan penting Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/2027 menentang kelab Korea Selatan, Pohang Steelers, pada Selasa ini.
“Saya bertuah kerana mempunyai barisan kejurulatihan yang sangat baik dan kami bekerjasama dengan erat untuk memastikan pemain bersedia menghadapi beban perlawanan yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas JDT menewaskan Penang FC 4-1 dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan mara ke separuh akhir dengan agregat 11-3 selepas mencatat kemenangan 7-2 pada aksi suku akhir pertama.
JDT bakal bertemu sama ada Kuala Lumpur (KL) City FC atau DPMM FC pada peringkat separuh akhir.
Mengulas persiapan menghadapi Pohang Steelers, Munoz mengingatkan anak buahnya supaya memperkukuh benteng pertahanan, meningkatkan keberkesanan penyudah serta mengekalkan fokus sepanjang perlawanan.
“Dalam Liga Juara-Juara, keupayaan bertahan dengan lebih kukuh dan menyempurnakan peluang dengan berkesan menjadi faktor penentu,” katanya.
JDT memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United pada 15 Sept lepas.
-Sementara itu, ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail menyifatkan sepakan penalti yang dibolosi pada awal perlawanan sebagai antara faktor yang menyukarkan pasukannya untuk bangkit.
Beliau berkata, jaringan awal itu menambahkan tekanan ke atas pemainnya, terutama selepas mereka mengalami kekalahan besar 2-7 pada aksi suku akhir pertama.
Tekanan berkenaan turut menyumbang kepada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemain Penang FC, sekali gus membolehkan JDT menguasai perlawanan dan mengekalkan kelebihan sehingga tamat aksi.
-- BERNAMA