KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi untuk seketika pagi ini sebelum berubah dan bergerak rendah, mengambil petunjuk daripada pengeluaran data Book Beige Rizab Persekutuan yang menunjukkan aktiviti ekonomi mungkin perlahan di tengah-tengah tekanan inflasi, kata seorang penganalisis.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.10 mata kepada 1,424.97 daripada 1,425.07 daripada penutupan urus niaga Rabu.

Indeks barometer dibuka pada paras 1,428.64, mengukuh 3.57 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 147 berbalas 107, manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,843 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 141.39 juta unit bernilai RM63.58 juta.

Menurut laporan berita antarabangsa, data Beige Book menunjukkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pegun dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan pengambilan pekerja dan inflasi yang perlahan serta akses kepada kredit yang semakin mengecil.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama Purata Perindustrian Dow Jones merosot sebanyak 80 mata manakala Nasdaq tidak berubah tatkala hasil 10 tahun AS menunjukkan sedikit peningkatan untuk melepasi 3.59 peratus.

Sementara di dalam negara, beliau mengunjurkan keadaan pasaran yang lesu meskipun beberapa kegiatan memburu saham murah dijangka muncul.

"Kami menjangkakan sentimen kekal lembap dengan jangkaan kenaikan 25 mata oleh Rizab Persekutuan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan seterusnya. Sehubungan itu, indeks berkemungkinan berlegar dalam julat 1,420-1,430 hari ini," tambahnya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.69, manakala Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB susut dua sen setiap satu kepada RM3.95, RM7.19 dan RM5.20 manakala CelcomDigi turun tiga sen kepada RM4.40.

Bagi saham aktif, Salutica susut 21.5 sen kepada 94.5 sen, MY E.G turun satu sen kepada 81 sen, manakala Revenue Group menambah 2.5 sen kepada 42.5 sen, Tanco naik setengah sen kepada 47.5 sen dan Zen Tech tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 6.18 mata kepada 10,469.62, Indeks FBMT 100 susut 5.89 mata kepada 10,154.12 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 0.72 mata kepada 10,805.61.

Indeks FBM 70 merosot 29.22 mata kepada 13,661.90 manakala Indeks FBM ACE mengukuh 3.20 mata kepada 5,355.79.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.11 mata kepada 172.26, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.87 mata menjadi 15,687.71 manakala Indeks Perladangan naik 18.21 mata kepada 6,869.93.

-- BERNAMA