Bursa Malaysia dibuka tinggi menjejaki peningkatan Wall Street

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan urus niaga hari ini dengan lebih tinggi, menjejaki kebanyakannya prestasi positif Wall Street.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, mengikuti prestasi positif Wall Street dengan FBM KLCI meningkat sebanyak 0.21 mata kepada 1,625.60.
- Sentimen pasaran positif dengan 146 kaunter untung berbanding 127 kaunter rugi, manakala jumlah dagangan saham mencapai 134.43 juta saham bernilai RM58.39 juta.
- Thong Pak Leng dari Rakuten Trade Sdn Bhd menyatakan peningkatan pasaran disokong oleh syarikat bermodal kecil dan pembelian berterusan, serta ramalan indeks FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,620-1,630 hari ini.
Jumlah dagangan sebanyak 134.43 juta saham bernilai RM58.39 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street kebanyakannya tinggi ketika mengakhiri urus niaga semalamannya apabila pelabur menumpukan syarikat bermodal kecil yang dijangka meraih manfaat daripada kos pinjaman lebih rendah.
"Syarikat sedemikian dapat menyokong apa yang dikenali sebagai 'Santa Rally' (peningkatan pasaran saham pada akhir Disember atau Krismas atau awal Januari) berikutan pemotongan kadar faedah baru-baru ini," katanya kepada Bernama.
Selain itu, beliau berkata peniaga turut beralih daripada saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) kepada pasaran lebih meluas selepas prestasi Oracle yang mengecewakan.
"Pada masa sama, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS juga kekal mendatar pada 4.153 peratus," katanya.
Di peringkat tempatan, Thong berkata FBM KLCI naik kepada 1,625 semalam yang juga paras tertinggi dalam tempoh lima hari, disokong oleh pembelian berterusan sepanjang sesi dagangan.
"Kami menjangkakan gabungan institusi tempatan dan dana asing telah memacu minat belian berkenaan. Sehubungan itu, indeks dijangka diniagakan dalam julat 1,620-1,630 hari ini," katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM12.82, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM10.26 dan RM4.42, CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing susut satu sen kepada RM7.87 dan RM8.39.
Bagi kaunter paling aktif, Vantris Energy menokok tujuh sen kepada 43 sen, Perak Transit meraih 1.5 sen kepada 30 sen manakala TWL Holdings dan BMS Holdings kekal pada 2.5 sen dan 21 sen selain MMAG Holdings turun setengah sen kepada 6.5 sen.
Kaunter paling untung adalah Scicom yang naik enam sen kepada RM1.32, LAC Med meraih 4.5 sen kepada 81 sen, Petronas Chemicals menambah empat sen kepada RM3.41 manakala TMK Chemical dan Dufu Technology masing-masing meningkat empat sen kepada RM1.38 dan RM1.60.
Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului Nestle yang jatuh 60 sen kepada RM113.60, Fraser Neave susut 48 sen kepada RM34.52, Malaysian Pacific rugi 30 sen kepada RM31.70, Country View kehilangan 11 sen kepada RM2.76 dan Kuala Lumpur Kepong susut 10 sen kepada RM19.42.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 3.15 mata kepada 11,980.51, Indeks FBM Emas Syariah susut 2.43 mata kepada 11,820.33, Indeks FBMT 100 berkurangan 7.78 mata kepada 11,769.09, Indeks FBM 70 menguncup 30.40 mata kepada 16,600.04 manakala Indeks FBM ACE naik 1.16 mata kepada 4,713.22.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 53.59 mata kepada 19,098.88, Indeks Perladangan susut 11.90 mata kepada 8,122.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.45 mata kepada 167.99 manakala Indeks Tenaga menokok 0.20 mata kepada 763.00.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


