Skip to main content

Malaysia

Budak 10 tahun maut dirempuh pacuan empat roda, pemandu positif ganja

SINAR HARIAN
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 29.4 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Kampar pada Jumaat yang mengorbankan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. - Foto IPD Kampar

KAMPAR: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu individu di bawah pengaruh dadah di Kilometer 29.4 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 malam itu, mangsa, Jayden Leong Zhi Yung, 10, yang duduk di tempat penumpang hadapan sebuah Perodua Bezza, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Advertisement

Nahas turut mengakibatkan seorang lagi penumpang berusia 13 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki, manakala pemandu kereta tersebut cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Ipoh ke Kampar hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Keadaan itu mengakibatkan kenderaan tersebut melanggar kereta dinaiki mangsa dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi yang sedang bergerak di laluan berkenaan.

"Pelanggaran menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut di tempat kejadian, manakala dua yang lain cedera," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux dan pemandu Perodua Myvi yang merupakan pelajar lelaki berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun katanya, polis telah menahan pemandu Hilux bagi tujuan siasatan lanjut.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif ganja,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video