Skip to main content

Politik

UMNO 80 tahun: Rumah Bangsa bukan satu lagi perikatan politik - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL) hari ini._BERNAMA
Menurut Khaled, menerusi gagasan Rumah Bangsa, UMNO berfungsi sebagai pemandu politik Melayu serta menjadi titik tumpuan utama dalam mencetuskan perubahan demi kebaikan bangsa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO bukan sebuah lagi perikatan politik, sebaliknya merupakan strategi kepusatan bagi memperkukuh peranan parti sebagai institusi utama perjuangan bangsa Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata gagasan itu perlu dimanfaatkan sebagai pendekatan yang membezakan UMNO daripada mana-mana perikatan politik lain.

Advertisement

"Rumah Bangsa adalah strategi kepusatan untuk menjadikan UMNO satu-satunya institusi bangsa Melayu yang kepentingan politik bangsa Melayu diperjuangkan secara terangkum.

"Kebolehsaingan ekonomi Bumiputera dimajukan secara lebih sistematik dan keadilan sosial diperjuangkan dengan lebih strategik. Kita tidak memerlukan pelbagai payung, kita hanya memerlukan sebuah rumah besar untuk semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Berucap lanjut, Mohamed Khaled berkata, menerusi gagasan Rumah Bangsa, UMNO berfungsi sebagai pemandu politik Melayu serta menjadi titik tumpuan utama dalam mencetuskan perubahan demi kebaikan bangsa.

Rumah Bangsa juga, jelas beliau harus bersuara sebagai satu suara bangsa Melayu dan menjadi arena penting untuk sesiapa sahaja berbincang, mengemukakan cadangan serta mencari pencerahan bagi kemaslahatan bangsa dan watan.

Menurut Naib Presiden UMNO itu, UMNO bukan sebuah parti yang hanya muncul ketika berada di puncak kuasa, sebaliknya kekal berperanan tanpa mengira keadaan, dengan pengabdian yang konsisten kepada agama, bangsa serta tanah air.

"Melalui Rumah Bangsa, orang Melayu perlu disedarkan bahawa UMNO sentiasa membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada semua untuk bersama-sama memperkukuh kedudukan dan masa depan bangsa," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan sebagai pencetus idea Rumah Bangsa ketika parti memerlukan pembaharuan visi dan hala tuju.
 

Must Watch Video