KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menebus kerugian yang dicatatkan pada Khamis untuk dibuka lebih tinggi hari ini, disokong oleh minat belian baharu sekali gus mengetepikan prestasi lemah semalaman Wall Street.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.14 mata kepada 1,443.99 daripada 1,441.85 pada penutup semalam.

Pada sesi pembukaan, indeks utama meningkat 0.64 mata kepada 1,442.49.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 191 berbalas 98, manakala 221 kaunter tidak berubah, 1,766 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 247.35 juta unit bernilai RM63.69 juta.

Wall Street ditutup lebih rendah sedikit apabila pelabur masih mencerna lonjakan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) sementara menantikan data Gaji Bukan Ladang AS yang akan dikeluarkan lewat hari ini.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Purata Indeks Dow Jones kehilangan 67 mata manakala Nasdaq merosot 14 mata apabila hasil 10 tahun AS melonjak ke paras tertinggi tahun ini pada 4.178 peratus.

"Kami percaya aktiviti belian akan kembali ke pasaran hari ini kerana aliran dana asing akan terus memasuki rantau ini, justeru, indeks utama dijangka berlegar dalam julat 1,435-1,445 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM8.93, Public Bank dan Tenaga Nasional kedua-duanya memperoleh dua sen untuk mencatatkan harga RM4.11 and RM9.58 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.46 dan Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM6.80.

Bagi saham aktif, Classita dan Pestech masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 17.5 sen dan 28 sen, BTM turun satu sen menjadi 8.0 sen manakala Sapura Energy dan Widad kekal pada 4.5 sen dan 43 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 17.28 mata menjadi 10,610.50, Indeks FBMT 100 naik 17.10 mata kepada 10,305.11 dan Indeks FBM Emas Syariah memperoleh 10.80 mata untuk mencatatkan paras 10,880.53.

Indeks FBM ACE meningkat 2.71 mata kepada 5,304.56 dan Indeks FBM 70 mengukuh 30.86 mata kepada 13,925.82.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 36.47 mata kepada 16,099.44, Indeks Tenaga bertambah 6.04 mata kepada 830.90, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.18 mata menjadi 165.65 dan Indek Perladangan kerugian 0.15 mata untuk mencatatkan paras 7,104.55.

-- BERNAMA