KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada penutupan semalaman Wall Street yang positif pada Jumaat.

Pada 9.26 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.86 mata kepada 1,456.79 daripada penutupan Jumaat pada 1,449.93.

Indeks penanda aras dibuka pada paras 1,452.39, mengukuh 2.46 mata.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas turut menyaksikan kaunter untung mendahului kaunter rugi 280 berbalas 168, manakala 293 kaunter tidak berubah, 1,610 tidak diniagakan dan 22 digantung.

Jumlah dagangan 442.87 juta unit bernilai RM179.26 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, pasaran yang semakin baik seharusnya merangsang bursa tempatan hari ini, justeru, indeks utama dijangka berlegar dalam julat 1,450-1,460.

Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi Maybank dan Public Bank masing-masing meningkat tiga sen kepada RM9.07 dan RM4.21, CIMB menambah satu sen menjadi RM5.74, Petronas Chemicals mengembang lima sen kepada RM7.24 manakala Tenaga Nasional dan CelcomDigi, kedua-duanya kekal pada RM9.97 dan RM4.28.

Bagi saham aktif, CN Asia meningkat satu sen kepada 19.5 sen, Kinergy peroleh setengah sen kepada 33.5 sen, Ranhill mengukuh 6.5 sen kepada 85 sen dan SMTrack tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 46.32 mata kepada 10,745.26, Indeks FBMT 100 peroleh 44.49 mata untuk mencatatkan paras 10,412.90 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 44.95 mata kepada 10,951.74.

Indeks FBM 70 mengembang 40.45 mata kepada 14,138.98 dan Indeks ACE FBM menambah 1.10 mata kepada 5,100.09.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.79 mata kepada 172.50, Indeks Perladangan menambah 27.72 mata menjadi 6,980.97, Indeks Tenaga turun 0.90 mata kepada 874.58, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 66.77 mata kepada 16,365.65.

-- BERNAMA