KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang kukuh, diterajui oleh Nasdaq apabila pembeli kembali selepas Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) pada Januari berada dalam jangkaan pasaran.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 4.24 mata kepada 1,555.68 daripada 1,551.44 semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.72 mata kepada 1,553.16.

Dalam pasaran secara menyeluruh, sentimen adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 224 berbanding 215 manakala 279 kaunter tidak berubah, 1,542 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 371.08 juta unit bernilai RM235.33 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi semalaman Wall Street baik; Nasdaq melonjak 144 mata dan Dow Jones Industrial Average menambah 47 mata berikutan hasil 10 tahun AS terus susut kepada 4.254 peratus.

Katanya Indeks Hang Seng Hong Kong rendah berikutan aktiviti pengambilan untung dan laporan pendapatan yang lemah daripada Baidu dan Budweiser.

"Bagaimanapun, sentimen keseluruhan akan stabil berikutan pemansuhan sekatan ke atas pembelian rumah dan had pembiayaan hartanah," katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Thong percaya belian saham mewah akan berterusan berikutan kebanyakannya masih diniagakan di bawah penilaian purata sejarahnya.

Sehubungan itu, beliau menjangka indeks akan berada dalam julat 1,550-1,560 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM9.60, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.47, Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM11.32, Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM7.02, bagaimanapun Public Bank merosot satu sen kepada RM4.39.

Bagi saham aktif, Harvest Miracle Capital naik 1.5 sen kepada 16 sen, Vsolar Group meningkat 3.5 sen kepada 19 sen, RGB International berkurangan setengah sen kepada 28.5 sen, Jaks Resources susut satu sen kepada 18 sen manakala Hong Seng Consolidated tidak berubah pada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 22.92 mata kepada 11,514.74, Indeks FBMT 100 meningkat 24.86 mata kepada 11,183.06, Indeks FBM Emas Shariah menambah 25.13 mata kepada 11,553.12, Indeks FBM 70 naik 10.99 mata kepada 15,457.14 manakala Indeks FBM ACE merosot 20.29 mata kepada 4,747.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 47.73 mata kepada 17,364.23, Indeks Perladangan menambah 9.34 mata kepada 7,204.01 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.03 mata kepada 176.25 dan Indeks Tenaga merosot 1.83 mata kepada 922.87.

-- BERNAMA