Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan petunjuk tidak menentu dari Wall Street

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.52 mata kepada 1,618.98 daripada 1,611.46 ketika ditutup semalam. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi pada Rabu, didorong petunjuk daripada Wall Street yang tidak menentu apabila pelabur menilai perkembangan terkini berkaitan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka tinggi semula berikutan petunjuk bercampur dari Wall Street dan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang mempengaruhi sentimen pelabur.
- FBM KLCI naik 7.52 mata kepada 1,618.98 dengan pasaran menunjukkan kecenderungan positif, jumlah dagangan mencecah RM109.24 juta.
- Kaunter berwajaran tinggi dan aktif mencatat kenaikan, dengan sektor perkhidmatan kewangan, tenaga dan perladangan turut meningkat.
Pasaran menunjukkan kecenderungan positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 291 berbanding 112, manakala 275 kaunter tidak berubah, 1,994 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 157.93 juta saham bernilai RM109.24 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup dengan prestasi bercampur-campur semalaman selepas sesi dagangan yang tidak menentu, apabila sentimen pasaran terjejas akibat ketegangan perdagangan yang kembali wujud antara AS dan China.
"Ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu kini telah melangkaui isu kacang soya dan unsur nadir bumi kepada caj penghantaran global," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hasil Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun susut sedikit kepada 4.03 peratus.
Di pasaran tempatan, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat antara 1,605 hingga 1,620 hari ini, katanya.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, CIMB Group dan Public Bank masing-masing naik tiga sen kepada RM7.38 dan RM4.24, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM8.07 manakala Maybank dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM9.92 dan RM13.20.
Bagi kaunter aktif, ECA Integrated naik satu sen kepada 25 sen, manakala Pharmaniaga dan Tanco Holdings masing-masing meningkat setengah sen kepada 26.5 sen dan 86.5 sen. TWL dan Genting Malaysia masing-masing kekal pada 2.5 sen dan RM2.32.
Antara kaunter paling untung, Petronas Gas melonjak 54 sen kepada RM19.10, Allianz Malaysia naik 22 sen kepada RM18.40, United Plantations meningkat 14 sen kepada RM23.58, Hong Leong Financial menokok 12 sen kepada RM17.02, dan 99 Speedmart menambah sembilan sen kepada RM3.12.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.81 mata kepada 12,085.85, Indeks FBMT 100 naik 52.57 mata kepada 11,820.65, Indeks FBM Emas Syariah menambah 49.63 mata kepada 12,161.11, Indeks FBM 70 melonjak 65.66 mata kepada 17,088.68, dan Indeks FBM ACE meningkat 31.20 mata kepada 5,224.63.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 56.98 mata kepada 18,234.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.43 mata kepada 174.00, Indeks Tenaga menokok 2.14 mata kepada 791.98, dan Indeks Perladangan meningkat 33.07 mata kepada 7,862.45.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami