Skip to main content

Dunia

Disyaki ancaman keselamatan, penerbangan menuju Sepanyol patah balik gara-gara Bluetooth

Sumber: Adobe Stock
Hantaran seorang penumpang di media sosial menyatakan kru penerbangan berulang kali meminta penumpang mematikan semua peranti berdaya Bluetooth, namun dua peranti kekal aktif. - Gambar hiasan

NEW YORK: Sebuah pesawat United Airlines (UA) menuju ke Sepanyol dari Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty berpatah balik ketika dalam perjalanan pada Sabtu, selepas nama peranti Bluetooth didakwa mengancam penumpang dan mencetuskan amaran keselamatan, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Ahad.

Menurut data penjejakan penerbangan, Boeing 767 itu berlepas kira-kira 6 petang waktu tempatan (2200 GMT) ke Palma de Mallorca, Sepanyol, tetapi berbalik arah dan mendarat semula di Newark pada 8:50 malam (0050 GMT Ahad) selepas hampir tiga jam di udara.

Hantaran seorang penumpang di media sosial menyatakan kru penerbangan berulang kali meminta penumpang mematikan semua peranti berdaya Bluetooth, namun dua peranti kekal aktif.

Anggota keselamatan kemudian memeriksa pesawat itu selepas menemui peranti Bluetooth dengan nama yang mengancam terdiri daripada empat huruf.

Saluran berita penerbangan AirLive kemudiannya mengenal pasti perkataan itu sebagai "BOMB."

Penerbangan itu kembali ke Newark selepas kru berunding dengan pusat operasi di Chicago. Terdapat 190 penumpang dan 12 anak kapal di dalam pesawat berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement