GEORGE TOWN: Seorang perunding teknologi maklumat kerugian hampir RM1.5 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto dalam talian, dikenali sebagai “Crypto Kakaue.”
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa, seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun, tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada Sabtu lepas.
Beliau berkata, mangsa mula terjebak dalam skim pelaburan itu selepas melihat iklan pelaburan mata wang kripto di aplikasi Facebook pada Disember 2023 dan berminat untuk menyertainya.
“Mangsa kemudian menekan pautan pada iklan tersebut sebelum berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
“Suspek menawarkan pelaburan dikenali sebagai ‘Crypto Kakaue’ yang melibatkan urusan jual beli mata wang kripto USDT,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Azizee berkata, mangsa kemudiannya menyertai kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Saham Mececah Hati Orang”, yang memberikan penerangan berkaitan pelaburan berkenaan serta menawarkan pulangan keuntungan lumayan.
Beliau berkata, mangsa turut diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan dikenali sebagai “Kakaue” dan menjalankan urusan pembelian mata wang kripto USDT, melalui individu yang berhubung dengannya menerusi WhatsApp.
“Antara Mac hingga September 2024, mangsa melakukan sembilan transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank milik syarikat yang diberikan oleh suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,494,410.
“Bagaimanapun, selepas semua transaksi dibuat mangsa tidak dapat mengeluarkan atau memindahkan keuntungan serta modal yang dipaparkan dalam aplikasi itu, ke akaun peribadinya,” katanya.
Azizee berkata, menyedari dirinya diperdaya, mangsa tampil membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA