KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diunjurkan diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan, dipacu oleh aktiviti belian semasa harga rendah yang berterusan, kata seorang peniaga.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diramalkan didagangkan dalam julat 1,420-1,440.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran bursa tempatan dijangka lebih baik, disokong dengan kembalinya belian asing, ekonomi tempatan yang bertambah baik serta penilaian FBM KLCI yang sederhana.

"Dari sudut teknikal, kami menyaksikan paras sokongan serta-merta pada 1,415 dan paras rintangan pada 1,440," katanya kepada Bernama.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berpendapat bahawa kebimbangan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) masih boleh menular ke pasaran Asia.

"Keadaan ini dapat dirasakan menerusi kemelesetan pasaran eksport. Oleh itu, sentimen ini diramalkan kekal suram dengan pertumbuhan global yang merosot dan risiko geopolitik antara China dan AS yang meruncing.

"Pelabur akan terus memantau data dengan teliti bagi menilai kesan penularan krisis kecil perbankan dan risiko kemelesetan AS," katanya.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah sejak Selasa hingga Khamis sebelum mengakhiri minggu ini dalam wilayah positif berikutan aktiviti belian semasa harga rendah.

Berasaskan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI meraih 4.45 mata untuk ditutup kepada 1,427.04 daripada 1,422.59 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 58.81 mata kepada 10,478.44, Indeks FBMT 100 menokok 47.01 mata kepada 10,161.04 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 106.23 mata kepada 10,822.66.

Indeks FBM 70 menambah 126.37 mata kepada 13,638.75 dan Indeks FBM ACE naik 99.88 mata kepada 5,326.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 7.43 mata kepada 15,701.27, Indeks Tenaga menokok 26.70 mata kepada 863.51, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat kepada 3.67 mata kepada 174.75 dan Indeks Perladangan turun 9.61 mata kepada 6,731.67.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 13.18 bilion unit bernilai RM7.71 bilion daripada 16.21 bilion unit bernilai RM8.36 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 9.47 bilion saham bernilai RM6.67 bilion daripada 10.54 bilion saham bernilai RM6.92 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran rendah kepada 960.12 juta unit bernilai RM155.86 juta daripada 1.94 bilion unit bernilai RM332.66 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 2.73 bilion saham bernilai RM874.88 juta daripada 3.71 bilion saham bernilai RM1.10 bilion.

-- BERNAMA