KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada Khamis berikutan kembalinya aktiviti pembelian susulan aktiviti pengambilan untung pada Selasa, kata peniaga.

Pasaran ditutup semalam berikutan cuti Wesak.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.09 mata, atau 0.44 peratus, kepada 1,629.18 daripada 1,622.09 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 1.43 mata lebih rendah kepada 1,620.66, bergerak antara 1,620.66 dan 1,632.79 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 732 kepada 521, dengan 504 kaunter tidak berubah, 632 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.2 bilion unit bernilai RM4.67 bilion berbanding 5.42 bilion unit bernilai RM4.22 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, saham teknologi meningkat, dirangsang oleh pendapatan kukuh pembuat cip Amerika, Nvidia sekali gus mengukuhkan keyakinan mengenai permintaan teguh daripada sektor kecerdasan buatan.

"Dalam pada itu, pelabur tidak terlalu berharap kepada pengurangan kadar (faedah) global tahun ini berikutan data yang lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah berbanding jangkaan daripada mesyuarat dasar terbaharu Rizab Persekutuan AS," katanya kepada Bernama.

Thong berkata beliau kekal optimis terhadap bursa tempatan berikutan sokongan teguh daripada dana asing di samping kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran ekuiti serantau dan global yang semakin meningkat.

"Kami menjangkakan aliran FBM KLCI dalam julat 1,625-1,640 menjelang akhir minggu ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.99, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.20 dan Tenaga Nasional naik 32 sen kepada RM13.10. CIMB menokok empat sen kepada RM6.88 dan Petronas Chemicals berkurangan 11 sen kepada RM6.92.

Bagi saham aktif, Ingenieur menyusut setengah sen kepada 6.5 sen, KNM menambah 2.5 sen kepada 10 sen dan SNS Network melonjak 13 sen kepada 63 sen. Perdana Petroleum naik lima sen kepada 41 sen dan MY EG meningkat dua sen kepada RM1.04.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 61.69 mata kepada 12,419.53, Indeks FBMT 100 menambah 61.42 mata kepada 12,012.67 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 75.96 mata kepada 12,666.17.

Indeks FBM 70 melonjak 128.26 mata kepada 17,856.43 manakala Indeks ACE FBM meningkat 95.75 mata kepada 5,519.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 68.19 mata kepada 17,761.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.78 mata kepada 197.45 dan Indeks Perladangan meningkat 6.95 mata kepada 7,297.62. Indeks Tenaga pula menambah 10.17 mata kepada 1,003.96.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.82 bilion unit bernilai RM3.96 bilion daripada 3.52 bilion unit bernilai RM3.80 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran mengukuh sehingga 1.06 bilion unit bernilai RM137.63 juta daripada 1.05 bilion unit semasa ditutup pada Selasa bernilai RM157.83 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.25 bilion saham bernilai RM572.07 juta daripada 844.99 juta saham bernilai RM264.71 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 578.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.12 bilion), pembinaan (241.66 juta), teknologi (482.75 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (124.56 juta), hartanah (357.38 juta), perladangan (27.47 juta), REIT (24.70 juta), dana tertutup (205,200), tenaga (461.82 juta), penjagaan kesihatan (146.38 juta), telekomunikasi dan media (73.68 juta), pengangkutan dan logistik (88.64 juta), utiliti (84.89 juta), dan amanah perniagaan (728,400).

-- BERNAMA