SEOUL: Kumpulan K-pop BTS menarik 840,000 peminat merentasi 15 persembahan di lima bandar untuk jelajah dunianya di Amerika Utara, kata agensi kumpulan itu pada Sabtu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Tiket konsert kumpulan itu habis dijual baru-baru ini di Tampa, El Paso, Stanford dan Las Vegas di Amerika Syarikat, serta Mexico City di Mexico, sebagai sebahagian daripada jelajah dunia "Arirang", menurut BigHit Music.
Susulan permintaan tinggi, kumpulan itu mengadakan pertunjukan tambahan di Tampa, Stanford dan Las Vegas, yang kesemuanya penuh.
BTS memulakan jelajah dunia bulan lepas sempena kemunculan semula mereka selepas hampir empat tahun berehat ketika anggotanya melaksanakan khidmat tentera wajib Korea Selatan.
Billboard yang berpangkalan di Amerika Syarikat melaporkan BTS mengaut AS$76.2 juta dan menjual 417,000 tiket dalam lapan pertunjukannya di Goyang, Korea Selatan, Tokyo dan Tampa pada April, menjadikannya jelajah dengan kutipan tertinggi bulan lepas.
Persembahan jelajah dunia BTS seterusnya akan berlangsung pada 12-13 Jun di bandar pelabuhan tenggara Korea Selatan, Busan.
-- BERNAMA-YONHAP