KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Selasa dengan lebih tinggi, dipacu oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah susulan jualan ketara baru-baru ini.
Perkembangan itu seiring dengan prestasi pasaran serantau dan global ketika pelabur menunggu mesyuarat antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Washington, lewat minggu ini.
Pada 5 petang, indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak sebanyak 16.56 mata atau 0.99 peratus kepada 1,683.50 daripada paras penutup 1,666.94, semalam.
Indeks utama itu dibuka menokok 2.80 mata kepada 1,669.74 dan bergerak dalam julat 1,665.23 hingga 1,684.34 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 678 berbanding 458 manakala 572 kaunter tidak berubah, 1,165 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.57 bilion unit bernilai RM3.15 bilion daripada 2.93 bilion unit bernilai RM2.49 bilion, semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata komen positif daripada pegawai susulan perbincangan persiapan (pertemuan Trump dan Xi) juga telah menyemarakan harapan mengenai perjanjian perdagangan sedia ada berkemungkinan besar dilanjutkan.
“Prestasi semalaman Wall Street menyaksikan peningkatan semula saham-saham teknologi serta hasil Perbendaharaan AS yang turun, sekali gus membantu meredakan kegelisahan mengenai makroekonomi yang lebih meluas dan menjejaskan sentimen pelabur,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat domestik, Thong berkata sentimen menjadi lebih positif apabila pelabur bertindak membuat pengumpulan terpilih saham-saham wajaran tinggi dalam indeks yang mengalami penyusutan harga selepas fasa pembetulan pasaran, baru-baru ini.
Selain itu di peringkat serantau, beliau berkata peningkatan sentimen terhadap sektor teknologi keetika tekanan yang kian mereda daripada hasil bon Perbendaharaan AS berpotensi menyuntik sokongan terhadap pasaran tempatan.
Pada masa sama, penyusutan ketara yang dicatatkan sepanjang dua minggu lepas turut menjadikan penilaian beberapa saham mewah terpilih dilihat sebagai lebih menarik.
“Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati berikutan keadaan luaran yang kekal tidak menentu.
“Krisis AS-Iran masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir walaupun terdapat kemungkinan rundingan diplomatik disambung semula ketika harga minyak terus melebihi US$100 setong...ini menyebabkan risiko inflasi dan geopolitik kekal tinggi,” katanya.
Berikutan itu, Thong menjangkakan indeks penanda aras itu akan bergerak dalam julat 1,670 hingga 1,700 untuk bagi tempoh dagangan yang berbaki minggu ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing menokok enam sen kepada RM10.44 dan RM13.10, Public Bank naik lima sen kepada RM4.84, CIMB meraih 25 sen kepada RM7.90 dan IHH Healthcare menokok 38 sen kepada RM8.
Selain itu, saham paling aktif menyaksikan AIMAX dan Jaks Resources tidak berubah masing-masing pada satu sen dan 17 sen manakala Zetrix AI mengukuh setengah sen kepada 20.5 sen, AirAsia menook 4.5 sen kepada 57.5 sen dan Capital A meraih tiga sen kepada 27 sen.
Kaunter paling untung didahului oleh Hong Leong Bank yang naik 48 sen kepada RM23.38, Malaysian Pacific Industries meraih 40 sen kepada RM43.20, Stratus Global menokok 37 sen kepada RM3.18, MI Technovation meningkat 33 sen kepada RM5.99 dan APM Automotive menambah 29 sen kepada RM2.83.
Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului Nestle yang turun 54 sen kepada RM89.16, Allianz Malaysia menguncup 20 sen kepada RM21.10, Petronas Dagangan merosot 18 sen kepada RM20.14, Sunway Healthcare berkurangan 12 sen kepada RM2.17 dan Edaran turun 11 sen kepada RM1.02.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 menokok 155.27 mata kepada 17,844.41, Indeks FBM Emas meraih 115.53 mata kepada 12,514.14, Indeks FBM Top 100 meningkat 117.44 mata kepada 12,307.88, Indeks FBM Emas Syariah menambah 89.62 mata kepada 12,326.38 dan Indeks FBM ACE naik 52.68 mata kepada 5,639.11.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.40 mata kepada 184.90, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 243.22 mata kepada 19,734.68, Indeks Perladangan meraih 45.53 mata kepada 9,456.02 namun Indeks Tenaga menguncup 0.78 mata kepada 844.65.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.12 bilion unit bernilai RM2.78 bilion berbanding 1.70 bilion unit bernilai RM2.18 bilion, semalam.
Selain itu, dagangan waran turut meningkat kepada 910.51 juta unit bernilai RM129.49 juta daripada 751.17 juta unit bernilai RM120.39 juta, sebelumnya.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 544.47 juta unit bernilai RM238.48 juta daripada 478.26 juta unit bernilai RM189.93 juta, semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 370.97 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (288.84 juta), pembinaan (176.03 juta), teknologi (589.57 juta), perkhidmatan kewangan (74.22 juta), hartanah (168.69 juta), perladangan (40.35 juta), amanah pelaburan hartanah (18.65 juta), dana tertutup (37,100), tenaga (159.25 juta), penjagaan kesihatan (109.69 juta), telekomunikasi dan media (22.83 juta), pengangkutan dan logistik (43.63 juta), utiliti (57.03 juta), dan amanah perniagaan (60,800).
-- BERNAMA