Skip to main content

Dunia

Presiden Brazil Lula tiba di Filipina untuk lawatan negara bersejarah

Lula tiba di Manila pada Jumaat, dijadual menyertai pemimpin serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Nov. - Foto X @LulaOficial
Lula tiba di Manila pada Jumaat, dijadual menyertai pemimpin serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Nov. - Foto X @LulaOficial
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva tiba di Manila pada Jumaat untuk lawatan negara bersejarah menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam hubungan antara Brazil dengan Filipina, lapor Anadolu Ajansi.

Lawatan Lula itu merupakan lawatan negara pertama oleh Presiden Brazil yang masih memegang jawatan ke Filipina, ketika kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-80 hubungan diplomatik.

Pemimpin Brazil itu diiringi Wanita Pertama Rosangela Lula da Silva dan delegasi rasmi.

Advertisement

Dalam hantaran di platform media sosial X, Lula berkata lawatan berkenaan akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala, memperluas peluang pelaburan dan meneroka bidang kerjasama baharu.

Beliau berkata akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, mengadakan rundingan dua hala serta menghadiri Forum Perniagaan Brazil-Filipina dan Sidang Kemuncak ASEAN.

Advertisement

Pada Sabtu, Lula dijadual meletakkan kalungan bunga di Tugu Rizal di Manila sebelum menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina untuk mengadakan pertemuan dengan Marcos, menurut portal berita tempatan Rappler.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan rundingan dua hala, menyaksikan pemeteraian perjanjian serta mengeluarkan kenyataan bersama.

Lula juga akan menyertai pemimpin serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Nov sebagai tetamu Pengerusi ASEAN.

Lawatan itu berlangsung ketika Brazil mempergiat usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan Asia Tenggara, dengan perdagangan, pelaburan dan pembangunan dijangka menjadi antara perkara utama dalam perbincangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement