KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dalam wilayah positif dan mencecah paras tertinggi harian pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi pasaran serantau yang bertambah baik serta keyakinan susulan pembukaan semula China selain kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 6.37 mata atau 0.42 peratus untuk mencapai paras tertinggi harian pada 1,495.03 daripada 1,488.66 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 0.61 mata lebih rendah kepada 1,488.05.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 517 berbanding 382, manakala 408 kaunter tidak berubah, 895 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.40 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 3.57 bilion unit bernilai RM2.75 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya ditutup tinggi susulan memperoleh petunjuk positif dari Wall Street dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata ini memandangkan tekanan inflasi yang reda di AS mungkin menyebabkan bank pusat memperlahankan rentak kenaikan kadar faedah.

Di peringkat rantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.04 peratus kepada 21,738.66; Indeks SSE Komposit China menambah 1.01 peratus kepada 3,195.31; Kospi Korea Selatan naik 0.89 peratus kepada 2,386.09 dan Indeks Straits Times Singapura menokok 0.70 peratus kepada 3,290.56.

Walau bagaimanapun, Nikkei 225 Jepun merosot 1.25 peratus kepada 26,119.52.

"Bagi bursa tempatan, kami menjangkakan momentum belian akan berterusan susulan sokongan kukuh daripada pelabur institusi tempatan," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM5.99, Press Metal naik sembilan sen kepada RM5.08, Maybank menambah enam sen kepada RM8.86, Petronas Chemicals dan IOI Corp masing-masing meningkat lima sen kepada RM8.40 dan RM3.99.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik menokok satu sen kepada dua sen, Nationgate meningkat enam sen kepada RM1.06, Zen Tech International dan Velesto Energy masing-masing naik 1.5 sen kepada empat sen dan 17.5 sen, manakala DNeX susut 1.5 sen kepada 56.6 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 43.04 mata kepada 10,785.80; Indeks FBMT 100 naik 41.49 mata kepada 10,482.57 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 31.87 mata kepada 10,976.72.

Indeks FBM 70 menambah 39.20 mata kepada 13,380.67 dan Indeks FBM ACE meningkat 26.85 mata kepada 5,455.48.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 6.67 mata kepada 822.94; Indeks Teknologi menambah 0.67 mata kepada 66.96; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.48 mata kepada 185.29 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 83.46 mata kepada 16,621.15 dan Indeks Perladangan naik 0.29 mata kepada 6,922.91.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 2.09 bilion saham bernilai RM1.53 bilion daripada 1.80 bilion saham bernilai RM1.76 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 317.53 juta unit bernilai RM65.01 juta daripada 334.13 juta unit bernilai RM81.89 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 987.01 juta saham bernilai RM415.28 juta berbanding dengan 1.43 bilion saham bernilai RM907.77 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 216.43 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (582.48 juta); pembinaan (56.07 juta); teknologi (288.83 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (56.64 juta); hartanah (101.20 juta); perladangan (27.51 juta); REIT (8.12 juta), dana tertutup (sifar); tenaga (634.00 juta); penjagaan kesihatan (59.96 juta); telekomunikasi dan media (25.17 juta); pengangkutan dan logistik (32.41 juta); serta utiliti (9.67 juta).

-- BERNAMA