KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan kukuh dengan petunjuk pasaran ditutup pada paras tertinggi harian pada Khamis berikutan sentimen pasaran tempatan yang positif serta sokongan asing, seiring dengan aliran meningkat di bursa serantau, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 20.49 mata atau 1.39 peratus kepada 1,491.20 berbanding 1,470.71 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka tinggi 1.68 mata kepada 1,472.39 dan meraih momentum sehingga berakhirnya sesi dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 653 kepada 264, manakala 393 kaunter tidak berubah, 988 tidak diniagakan dan 66 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.83 bilion unit bernilai RM1.81 bilion berbanding 2.19 bilion unit bernilai RM1.36 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama mencatatkan peningkatan berikutan isyarat positif semalaman di Wall Street.

"Pelabur memberi reaksi positif kepada jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS). Pengerusi Fed Jerome Powell berkata beliau tidak berpandangan AS kini mengalami kemelesetan, sambil memberitahu bahawa bank pusat dijangka memperlahankan kenaikan kadar pada satu masa nanti," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.48 peratus kepada 3,220.65, KOSPI Korea Selatan menambah 0.82 peratus kepada 2,435.27, Nikkei 225 Jepun naik 0.36 peratus kepada 27,815.48 dan Indeks Komposit SSE China menokok 0.21 peratus kepada 3,282.58, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong rendah 0.23 peratus kepada 20,622.68.

Bagaimanapun, bagi dalam negara, Thong berkata para pelabur perlu kekal berhati-hati terhadap ketidakstabilan pasaran yang meningkat serta ketidakpastian luaran.

Justeru, beliau mengunjurkan indeks penanda aras akan diniagakan tidak berubah dengan sedikit kecenderungan positif pada julat 1,485 hingga 1,500 menjelang akhir minggu ini dengan paras sokongan segera pada 1,460 dan paras rintangan 1,500.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM8.85, Public Bank meraih empat sen kepada RM4.64, Petronas Chemicals menambah 27 sen kepada RM8.91, IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM6.39 dan CIMB Group meningkat enam sen kepada RM5.28.

Bagi saham aktif, Zen Tech International susut setengah sen kepada empat sen, MyEG meraih dua sen kepada 76.5 sen, Metronic Global meningkat 1.5 sen kepada 14.5 sen, manakala Bintai Kinden dan Serba Dinamik masing-masing tidak berubah pada 12 sen dan 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 148.67 mata kepada 10,578.65, Indeks FBM Emas Syariah naik 186.12 mata kepada 10,681.03, Indeks FBMT 100 menokok 148.07 mata kepada 10,333.40, FBM ACE meningkat 53.29 mata kepada 4,832.49 dan FBM 70 melonjak 206.22 mata kepada 12,684.69.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengukuh 93.96 mata kepada 6,940.26, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 107.38 mata kepada 16,663.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 5.12 mata kepada 183.66 dan Indeks Tenaga naik 21.41 mata kepada 666.61.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.06 bilion saham bernilai RM1.59 bilion berbanding 1.56 bilion saham bernilai RM1.19 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 282.68 juta unit bernilai RM49.90 juta berbanding 233.12 juta unit bernilai RM49.73 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE bertambah kepada 489.09 juta saham bernilai RM169.77 juta berbanding 390.66 juta saham bernilai RM125.68 juta sebelum ini.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 177.37 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (965.19 juta), pembinaan (55.99 juta), teknologi (263.80 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.75 juta), hartanah (119.17 juta), perladangan (30.12 juta), REIT (7.87 juta), dana/tertutup (13,000), tenaga (218.34 juta), penjagaan kesihatan (88.47 juta), telekomunikasi dan media (35.05 juta), pengangkutan dan logistik (25.02 juta) serta utiliti (17.35 juta).

-- BERNAMA