KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah pada Khamis, susulan petunjuk global yang bercampur-campur dan penyusutan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.60 mata kepada 1,453.29 daripada 1,455.89 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 0.79 mata lebih tinggi kepada 1,456.68 sebelum bergerak di antara 1,451.35 dengan 1,456.68 sepanjang sesi dagangan.

Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 532 berbanding 417, manakala 423 kaunter tidak berubah, 1,002 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.71 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 2.97 bilion unit bernilai RM2.04 bilion semalam.

Pengarah Urusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata walaupun kenaikan kukuh berterusan dalam saham Amerika Syarikat (AS) namun, pasaran Asia menunjukkan prestasi bercampur-campur dengan FBM KLCI didagangkan lebih rendah berikutan lanjutan aktiviti pengambilan untung semalam.

Beliau berkata penurunan tuntutan pengangguran AS menjadi pemangkin negatif hari ini.

"Ini mencadangkan Rizab Persekutuan tidak akan berminat untuk mengurangkan kadar pada bila-bila masa tidak lama lagi seperti yang difikirkan pasaran. Di dalam negara, terdapat kekurangan input makro untuk menggalakkan sebarang momentum yang menggalakkan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata FBM KLCI kekal dalam jalur yang tidak banyak berubah dengan minyak dan gas serta saham utama perladangan mengalami penurunan ekoran harga komoditi yang lebih lemah.

Harga minyak mentah turun semula selepas Pertubuhan Negara-negara Pengkesport Petroleum (OPEC) dan sekutunya menangguhkan mesyuarat mereka hingga akhir November 2023, katanya.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan keadaan tidak banyak berubah dengan cenderung negatif akan berlanjutan memandangkan ketiadaan petunjuk domestik baharu.

"Sementara itu, pelabur akan terus memantau pengumuman mengenai pendapatan korporat yang berterusan. Pada masa yang sama, tumpuan akan terarah kepada data kadar inflasi Malaysia yang akan dikeluarkan esok," katanya.

Beliau berkata secara teknikal, rintangan serta-merta terletak pada 1,464 diikuti oleh 1,480 manakala sokongan pada 1,446.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.09, CIMB turun tiga sen kepada RM5.74 dan Petronas Chemicals kurang sembilan sen kepada RM7.16.

Tenaga menambah empat sen kepada RM10.02 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.27.

Daripada saham aktif, Top Glove naik 4.5 sen kepada 88.5 sen, Leform meningkat satu sen kepada 28.5 sen, Widad dan Sarawak Consolidated masing-masing menokok setengah sen kepada 47 sen dan 66 sen manakala Hong Seng turun setengah sen kepada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 22.38 mata kepada 10,773.19, Indeks FBMT 100 kurang 20.16 mata kepada 10,434.18, Indeks FBM Emas Syariah susut 28.34 mata kepada 10,964.84, Indeks FBM 70 menguncup 35.09 mata kepada 14,369.28, dan Indeks FBM ACE turun 6.74 mata kepada 5,195.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 13.24 mata kepada 16,383.24, Indeks Tenaga menguncup 13.78 mata kepada 845.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.71 mata kepada 173.34 dan Indeks Perladangan turun 13.21 mata kepada 6,947.47.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.50 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 1.79 bilion unit bernilai RM1.76 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 573.50 juta unit bernilai RM75.05 juta daripada 521.94 juta unit bernilai RM54.50 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 637.42 juta saham bernilai RM210.79 juta berbanding 646.86 juta saham bernilai RM227.49 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 339.71 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (455.81 juta); pembinaan (88.19 juta); teknologi (748.61 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (51.29 juta); hartanah (207.71 juta); perladangan (30.67 juta); REIT (8.47 juta); dana tertutup (3,000); tenaga (111.33 juta); penjagaan kesihatan (318.83 juta); telekomunikasi dan media (24.97 juta); pengangkutan dan logistik (48.86 juta); serta utiliti (60.99 juta).

-- BERNAMA