Bursa Malaysia ditutup sedikit rendah menjelang keputusan kadar faedah Fed AS

Pada 5 petang, FBM KLCI merosot 2.02 mata atau 0.13 peratus kepada 1,611.54 daripada 1,613.56 ketika ditutup pada Selasa. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup sedikit rendah hari ini susulan para pelabur kekal berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat yang dijangka diumumkan malam ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.02 mata atau 0.13 peratus kepada 1,611.54 daripada 1,613.56 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.01 mata lebih tinggi pada 1,614.57 dan bergerak antara 1,606.44 dan 1,617.02 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan 546 kaunter rugi mengatasi 443 kaunter untung manakala 529 kaunter tidak berubah, 1,218 kaunter tidak diniagakan dan 77 kaunter lagi digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 2.73 bilion unit bernilai RM2.37 bilion daripada 3.86 bilion unit bernilai RM3.03 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup sedikit rendah berikutan penjualan berterusan dalam kaunter telekomunikasi, pengguna dan perladangan walaupun penurunan dihadkan berdasarkan sokongan kukuh iaitu sekitar paras 1,610.
"Indeks petunjuk pasaran kekal disokong dengan baik di atas paras 1,600 mata, mencerminkan daya tahan yang mendasari walaupun terdapat sentimen berhati-hati menjelang pengumuman dasar penting itu," katanya kepada Bernama.
Secara serantau, Thong menambah pasaran utama ditutup bercampur-campur dengan minat belian dilihat pada saham berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan manakala kaunter yang berkait dengan komoditi berdepan dengan aktiviti pengambilan untung.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM13.30 manakala Maybank dan CIMB Group masing-masing turun satu sen kepada RM9.87 dan RM7.38, Public Bank merosot dua sen kepada RM4.19 dan IHH Healthcare menurun tiga sen kepada RM8.25.
Dalam kalangan saham paling aktif, Zetrix AI susut dua sen kepada 81.5 sen, Perak Transit berkurang satu sen kepada 38.5 sen dan Ekovest kehilangan 2.5 sen kepada 35.5 sen manakala Tanco Holdings bertambah dua sen kepada 92.5 sen dan Borneo Oil kekal tidak berubah pada setengah sen.
Dalam kalangan saham paling untung termasuk Nestle yang melambung RM2.10 kepada RM109.20, Malayan Cement naik 33 sen kepada RM6.75, Chin Teck Plantations meningkat 32 sen kepada RM11.32, United Plantations berkembang 20 sen kepada RM24.28 dan Dufu Technology menokok 15 sen kepada RM1.88.
Dalam kalangan saham paling rugi, Malaysian Pacific Industries berkurang 50 sen kepada RM31.12, Bintulu Port Holdings turun 21 sen kepada RM5.05, Petronas Dagangan susut 16 sen kepada RM22.30, Ecomate Holdings merosot 11 sen kepada RM1.41, dan Dutch Lady hilang 10 sen kepada RM26.20.
Selain itu, di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurang 12.39 mata kepada 12,053.70, Indeks FBMT 100 turun 14.80 mata kepada 11,792.56, Indeks FBM Emas Shariah susut 12.43 mata kepada 12,139.57 dan Indeks FBM 70 melemah 21.53 mata kepada 17,161.99.
Bagaimanapun, Indeks FBM ACE meningkat 45.31 mata kepada 5,225.56.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 23.70 mata kepada 18,169.60 dan Indeks Perladangan merosot 17.09 mata kepada 7,961.99 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.22 mata kepada 172.17 dan Indeks Tenaga melonjak 1.94 mata kepada 775.02.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 1.99 bilion unit bernilai RM2.18 bilion daripada 2.01 bilion unit bernilai RM2.68 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran turun kepada 352 juta unit bernilai RM31 juta daripada 1.34 bilion unit bernilai RM152.13 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 368.17 juta unit bernilai RM157.61 juta daripada 502.65 juta unit bernilai RM193.25 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 479.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (405.01 juta), pembinaan (141.07 juta), teknologi (318.67 juta), perkhidmatan kewangan (45.66 juta), hartanah (220.13 juta), perladangan (28.33 juta), amanah pelaburan hartanah (REITs) (24.99 juta), dana tertutup (15,400), tenaga (102.83 juta), penjagaan kesihatan (110.74 juta), telekomunikasi dan media (61.15 juta), pengangkutan dan logistik (29.84 juta), utiliti (28.19 juta) serta amanah perniagaan (69,000).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


