Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Pemulihan bekalan minyak ambil masa walaupun perjanjian damai dicapai - Akmal Nasrullah

Sumber: Astro AWANI
Kata Akmal Nasrullah, sebarang potensi perjanjian damai bagi menamatkan krisis geopolitik global ketika ini tidak akan memberikan kesan pemulihan ekonomi secara serta-merta berikutan keperluan masa bagi memulihkan laluan perdagangan strategik dan infrastruktur yang terjejas. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Sebarang potensi perjanjian damai bagi menamatkan krisis geopolitik global ketika ini tidak akan memberikan kesan pemulihan ekonomi secara serta-merta berikutan keperluan masa bagi memulihkan laluan perdagangan strategik dan infrastruktur yang terjejas.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan, proses pemulihan tersebut dijangka mengambil tempoh yang munasabah, khususnya membabitkan restorasi laluan kritikal seperti Selat Hormuz serta kerosakan prasarana yang terkesan akibat konflik peperangan sebelum ini.

“Sekiranya benar perjanjian damai itu boleh dicapai, kesannya mungkin akan mengambil masa kerana proses untuk memulihkan keadaan daripada segi laluan di Selat Hormuz dan infrastruktur yang terjejas memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya kepada media selepas Himpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, pada Isnin.

Akmal Nasrullah berkata, krisis geopolitik di peringkat global itu telah memberikan kesan yang ketara kepada negara, terutamanya dalam mendepani isu bekalan minyak.

Meskipun kerajaan sentiasa menantikan perkembangan positif berhubung ruang rundingan damai, namun beliau menegaskan bahawa situasi semasa masih belum membolehkan negara untuk kembali ke ‘mod selesa’.

“Perkara itu masih boleh dipengaruhi dengan faktor-faktor di luar jangka. Oleh itu, di peringkat kementerian, kita mengekalkan komitmen untuk terus melihat peranan yang boleh diambil bagi meredakan tekanan yang berlaku.

“Ini termasuklah melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan terus kita langsungkan sehingga keadaan benar-benar memberi gambaran yang lebih jelas dalam soal penamatan krisis ini,” tambah beliau.

Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai perjanjian damai pada Isnin serta menamatkan operasi ketenteraan secara 'serta-merta dan kekal' di semua medan konflik termasuk Lubnan, menurut negara pengantara, Pakistan.

Perkembangan terbaharu itu secara langsung memberi isyarat berakhirnya perang yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi platform X memaklumkan, perjanjian damai itu sudah dicapai dan majlis menandatangani perjanjian secara rasmi akan diadakan di Switzerland pada 18 Jun ini.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, dalam satu kenyataan berkata, perjanjian dengan Republik Islam Iran kini sudah dimuktamadkan.

Must Watch Video

Advertisement