Skip to main content

Bisnes

Inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal antara 1.5 hingga 2.5 peratus - Akmal Nasrullah

Sumber: Astro AWANI
Akmal Nasrullah menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di Putrajaya, pada Isnin.

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi menjangkakan kadar inflasi Malaysia kekal terkawal dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus sepanjang tahun ini, meskipun berdepan tekanan daripada krisis bekalan tenaga serta ketidaktentuan geopolitik global.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan komited memastikan inflasi tidak memberi renjatan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat walaupun tekanan harga dijangka berterusan.

Menurut beliau, kadar inflasi terkini negara direkodkan pada 1.9 peratus, iaitu jauh lebih rendah berbanding unjuran inflasi global yang dianggarkan sekitar 4.3 peratus.

“Untuk tahun 2026, unjuran yang kita selesa adalah inflasi berada antara 1.5 hingga 2.5 peratus. Ini merupakan sasaran kita supaya pergerakan inflasi kekal dalam ruang lingkup yang boleh ditangani dan tidak memberi kesan terlalu ketara kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini, sebagai mengulas jangkaan tekanan inflasi susulan gangguan bekalan tenaga global serta kesannya terhadap sektor pengangkutan dan makanan.

Akmal Nasrullah menjelaskan, tekanan inflasi ketika ini berpunca daripada peningkatan kos berkaitan bekalan minyak serta input barangan yang diperlukan untuk mengekalkan aktiviti ekonomi.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pelbagai langkah mitigasi, termasuk penyaluran subsidi bahan api secara bersasar, kawalan kos logistik menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), serta penyediaan tambahan pembiayaan sebanyak RM5 bilion melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan kemudahan Bank Negara Malaysia bagi menyokong kelangsungan perusahaan kecil.

Bagaimanapun, beliau mengakui, tekanan inflasi boleh meningkat sekiranya krisis global berlarutan.

“Setakat ini kita berjaya mengekalkan inflasi sekitar 1.9 peratus, namun tekanan itu tetap wujud. 

"Justeru, kita akan terus memantau data rasmi dan keadaan sebenar di peringkat industri agar langkah intervensi dapat dilaksanakan lebih awal,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement