Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tinggi didorong kenaikan saham kewangan

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FBM KLCI menokok 13.85 mata atau 0.83 peratus kepada 1,691.49 daripada 1,677.64 pada akhir dagangan semalam. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada Jumaat, didorong oleh pemulihan saham-saham perkhidmatan kewangan yang melonjakkan sentimen pasaran secara menyeluruh dan seiring prestasi positif pasaran serantau.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 13.85 mata atau 0.83 peratus kepada 1,691.49 daripada 1,677.64 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 5.14 mata kepada 1,682.78 yang juga paras terendah harian dan seterusnya mencecah paras tertinggi 1,696.25 pada sesi dagangan tengah hari.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 648 berbanding 443 manakala 581 lain tidak berubah, sebanyak 1,044 tidak diniagakan dan 25 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.85 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 2.64 bilion unit bernilai RM2.19 bilion pada Rabu.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus semalam memberikan kejelasan dasar lebih jelas bagi pelabur serta perniagaan di tengah-tengah kebimbangan berkaitan harga tenaga global serta kos operasi.

“Sentimen positif itu turut dipacu oleh tindakan pelabur asing yang menjadi pembeli bersih bagi sesi dagangan kedua berturut-turut selepas menyaksikan tempoh penjualan bersih yang ketara.

“Ini hanya memaparkan pemulihan keyakinan terhadap ekuiti-ekuiti Malaysia, disokong oleh asas-asas makroekonomi negara ini yang berdaya tahan, dasar monetari yang stabil dan penilaian pasaran yang secara relatifnya menarik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata sentimen pasaran yang lebih positif itu turut dipacu oleh kebimbangan ketegangan geopolitik yang kini mereda selepas harga minyak kembali stabil pada akhir minggu yang tidak menentu.

“Minyak mentah Brent diniagakan menghampiri US$76 setong selepas susut lebih dua peratus pada sesi sebelumnya ketika Amerika Syarikat dan Iran meneruskan rundingan teknikal walaupun berlaku serangan baharu yang menjejaskan aktiviti perkapalan di Selat Hormuz,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Public Bank dan CIMB masing-masing naik empat sen kepada RM10.90, RM4.89 dan RM7.64 manakala IHH Healthcare untung 12 sen kepada RM8.44 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.30.

Bagi saham-saham aktif, Tanco naik setengah sen kepada 19.5 sen, Zetrix AI meraih 2.5 sen kepada 75 sen, Nationgate menokok 7.5 sen kepada 88 sen, HHRG menambah 1.5 sen kepada 11 sen manakala SRKK AI susut satu sen kepada 60 sen.

Kaunter paling untung didahului Fraser & Neave yang menambah 78 sen kepada RM29.70, Nestle naik 50 sen kepada RM91.80, DKLS Industries meraih 41 sen kepada RM1.83, UMS Integration menokok 40 sen kepada RM8.16 manakala Kuala Lumpur Kepong meningkat 38 sen kepada RM21.60.

Allianz Malaysia mendahului kaunter rugi apabila susut 28 sen kepada RM20.84, Malaysian Pacific Industries susut 26 sen kepada RM46.00, Vitrox merosot 15 sen kepada RM7.39, United Plantations turun 14 sen kepada RM34.26 dan Apollo Food berkurangan 13 sen kepada RM5.84.

Bagi indeks pula, Indeks FBM Emas naik 83.33 mata kepada 12,523.81, Indeks FBMT 100 menokok 86.23 mata kepada 12,354.33 manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 93.33 mata kepada 12,373.61.

Indeks FBM 70 menambah 60.83 mata kepada 17,858.47 dan Indeks FBM ACE menokok 2.34 mata kepada  4,893.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 93.58 mata kepada 19,921.66, Indeks Perladangan melonjak 125.33 mata kepada 9,202.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.92 mata kepada 182.58 manakala Indeks Tenaga berkurangan 5.14 mata kepada 768.82.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.31 bilion unit bernilai RM1.93 bilion berbanding 1.09 bilion unit bernilai RM1.83 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 1.05 bilion unit bernilai RM139.75 juta berbanding 1.03 bilion unit bernilai RM138.27 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 491.14 juta unit bernilai RM177.02 juta daripada 520.91 juta unit bernilai RM219.12 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 232.74 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (249.32 juta), pembinaan (62.29 juta), teknologi (221.40 juta), perkhidmatan kewangan (55.17 juta), hartanah (228.05 juta), perladangan (30.54 juta), amanah pelaburan hartanah (11.01 juta), dana tertutup (34,400), tenaga (67.15 juta), penjagaan kesihatan (61.26 juta), telekomunikasi dan media (29.78 juta), pengangkutan dan logistik (24.33 juta), utiliti (30.85 juta) serta amanah perniagaan (1.46 juta).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement