KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari pada Selasa, dipacu kenaikan sektor perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan apabila pelabur kembali memberi tumpuan kepada sektor defensif serta berorientasikan domestik susulan peningkatan selera risiko global, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.93 mata kepada 1,732.66 berbanding 1,725.73 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.21 mata lebih tinggi kepada 1,725.94 dan susut ke paras terendah harian 1,722.78 pada awal dagangan sebelum meraih momentum sepanjang sesi untuk ditutup pada paras tertinggi intra hari.
Sentimen pasaran secara keseluruhan mencatat prestasi positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 621 berbanding 482, manakala 581 kaunter tidak berubah, 1,052 tidak diniagakan dan 16 digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.80 bilion unit bernilai RM2.81 bilion berbanding 2.73 bilion unit bernilai RM2.33 bilion pada Isnin.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPP Financial Advisers (IPPFA) Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran disokong oleh pemulihan saham teknologi Amerika Syarikat, yang membantu mengembalikan keyakinan terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).
Katanya, pemulihan itu menyusuli tempoh dagangan tidak menentu yang dipengaruhi kebimbangan sama ada perbelanjaan modal besar berkaitan AI mampu membawa kepada pertumbuhan pendapatan yang mampan.
"Meskipun latar belakang luaran bertambah baik, pelabur kekal selektif berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang terus memberi tekanan terhadap prospek global, sekali gus memihak kepada sektor yang mempunyai pendapatan berdaya tahan, aliran tunai stabil dan asas domestik kukuh," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM10.78, Public Bank meningkat lapan sen kepada RM5.28, CIMB Group menambah dua sen kepada RM8.03, IHH Healthcare naik 13 sen kepada RM8.43, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.50.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI meningkat satu sen kepada 73.5 sen, Mr D.I.Y. susut 10 sen kepada RM1.52, NationGate Holdings menambah enam sen kepada RM1.29, HHRG tidak berubah pada 11.5 sen dan Dataprep Holdings turun satu sen kepada enam sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 70 sen kepada RM46.72, Kelington Group melonjak 52 sen kepada RM8.72, Kuala Lumpur Kepong dan Fraser & Neave masing-masing naik 32 sen kepada RM21.32 dan RM27.82, manakala Petronas Dagangan meningkat 26 sen kepada RM19.70.
Sementara itu, kaunter paling rugi menyaksikan Nestle susut 90 sen kepada RM101.80, United Plantations dan Hong Leong Industries masing-masing turun 16 sen kepada RM34.04 dan RM17.84, manakala Kim Loong Resources serta Gas Malaysia masing-masing merosot 12 sen kepada RM2.66 dan RM5.05.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 100.99 mata kepada 18,211.50, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 65.14 mata kepada 12,622.51 dan Indeks FBM ACE naik 36.12 mata kepada 5,017.44.
Sementara itu, Indeks FBM Emas meningkat 56.90 mata kepada 12,809.32, manakala Indeks FBM Top 100 menambah 55.51 mata kepada 12,640.71.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.38 mata kepada 188.68, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 80.99 mata kepada 20,519.19, Indeks Perladangan meningkat 72.25 mata kepada 9,377.31 dan Indeks Tenaga naik 0.64 mata kepada 764.53.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.46 bilion unit bernilai RM2.53 bilion berbanding 1.38 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran susut kepada 859.77 juta unit bernilai RM112.63 juta berbanding 868.17 juta unit bernilai RM122.04 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 469.03 juta unit bernilai RM168.07 juta berbanding 474.34 juta unit bernilai RM164.93 juta pada Isnin.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 191.53 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (310.41 juta), pembinaan (87.91 juta), teknologi (308.04 juta), perkhidmatan kewangan (107.17 juta), hartanah (124 juta), perladangan (39.07 juta), amanah pelaburan hartanah (28.28 juta), dana tertutup (91,300), tenaga (92.84 juta), penjagaan kesihatan (80.95 juta), telekomunikasi dan media (24.86 juta), pengangkutan dan logistik (43.63 juta), utiliti (25.45 juta), dan amanah perniagaan (19,400).
-- BERNAMA