Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tinggi disokong saham wajaran tinggi

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 1.76 mata kepada 1,712.65 daripada 1,710.89 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi semasa mengakhiri dagangan minggu ini, disokong oleh peningkatan kukuh dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui oleh sektor penjagaan kesihatan dan pembinaan, seiring dengan prestasi pasaran serantau yang secara keseluruhannya positif.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.76 mata kepada 1,712.65 daripada 1,710.89 ketika ditutup pada Khamis.

Advertisement

Indeks petunjuk pasaran dibuka menokok 1.84 mata kepada 1,712.73 dan bergerak antara 1,708.45 dan 1,716.28.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 584 berbanding 409 manakala 592 kaunter tidak berubah, 1,207 tidak diniagakan dan 137 digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.97 bilion unit bernilai RM3.25 bilion daripada 3.0 bilion unit bernilai RM3.14 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur terus berhati-hati dan tidak membeli saham baharu dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang masih belum reda di Asia Barat.

Beliau berkata aktiviti pasaran kekal berhati-hati dan terpilih, dengan pelabur menumpukan kepada saham defensif dan berkaitan komoditi sebagai lindung nilai terhadap risiko luaran.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula berkata, di peringkat serantau, tindak balas dasar yang meningkat di seluruh Asia Pasifik untuk menstabilkan pasaran kewangan dan menyokong mudah tunai mungkin memberi sokongan kepada sentimen secara tidak langsung.

“Secara keseluruhan, sentimen pasaran kekal stabil, menekankan bahawa fasa pada masa ini adalah stabil dan bukannya mengelakkan risiko secara menyeluruh, dengan pelabur mengekalkan pendekatan taktikal sementara menunggu isyarat makroekonomi dan geopolitik yang lebih jelas,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sunway Healthcare meningkat 8.0 sen kepada RM2.37, Petronas Gas melonjak 80 sen kepada RM18.42, Maybank dan YTL Corporation masing-masing menambah dua sen kepada RM11.46 dan RM1.67 manakala CIMB susut 11 sen kepada RM7.70.

Bagi saham paling aktif, VS Industry rendah lima sen kepada 23.5 sen, Zetrix AI susut setengah sen kepada 73.5 sen, Velesto Energy menyusut 1.5 sen kepada 33 sen manakala Pharmaniaga naik satu sen kepada 25 sen.

Antara kaunter paling untung, Fraser & Neave dan Nestle masing-masing meningkat RM1.06 kepada RM30.76 dan RM99.06, Sunway Bhd melonjak 24 sen kepada RM5.47, Gas Malaysia naik 16 sen kepada RM5.83 dan IOI Properties menokok 15 sen kepada RM3.47.

Bagi kaunter paling rugi, Mega Fortris menyusut 23.5 sen kepada 76.5 sen, Hong Leong Bank berkurangan 20 sen kepada RM22.30, UWC turun 16 sen kepada RM4.08 dan United Plantations merosot 14 sen kepada RM33.46.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 15.28 mata kepada 12,337.50, Indeks FBM Emas naik 6.81 mata kepada 12,465.26, Indeks FBM 70 menokok 32.32 mata kepada 17,098.79, Indeks FBM Emas Syariah menambah 42.66 mata kepada 12,272.19 manakala Indeks FBM ACE susut 27.31 mata kepada 4,327.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 102.63 mata kepada 20,327.50, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.17 mata kepada 182.89, Indeks Tenaga merosot 7.97 mata kepada 798.29 dan Indeks Perladangan meningkat 48.02 mata kepada 8,704.97.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.89 bilion unit bernilai RM3.05 bilion berbanding 1.83 bilion unit bernilai RM2.90 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 818.64 juta unit bernilai RM109.49 juta daripada 893.33 juta unit bernilai RM126.61 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 255.80 juta unit bernilai RM88.32 juta berbanding 277.72 juta unit bernilai RM113.46 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 183.60 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (406.48 juta), pembinaan (211.33 juta), teknologi (166.88 juta), perkhidmatan kewangan (90.24 juta), hartanah (130.89 juta), perladangan (59.01 juta), amanah pelaburan hartanah (30.13 juta), dana tertutup (27,000), tenaga (235.11 juta), penjagaan kesihatan (278.63 juta), telekomunikasi dan media (36.29 juta), pengangkutan dan logistik (36.02 juta), utiliti (31.06 juta), dan amanah perniagaan (175,800).

-- BERNAMA

Must Watch Video