KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengalami lantunan untuk dibuka tinggi pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang kukuh dalam tempoh semalaman menjelang keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) berkaitan kadar faedah minggu depan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.09 mata kepada 1,377.73 daripada 1,374.64 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 0.94 mata lebih kukuh kepada 1,375.58.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 175 berbanding 112, manakala 268 kaunter tidak berubah, 1,688 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 310.16 juta unit bernilai RM63.66 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) berakhir pada paras tinggi memandangkan pelabur menjangkakan Fed mengambil pendekatan kurang cenderung kepada kadar faedah tinggi berikutan data pasaran buruh yang kurang memberangsangkan.

Jabatan Buruh AS dijadual mengeluarkan data inflasi AS pada 13 Jun iaitu hari pertama mesyuarat Fed.

Data inflasi itu dijangka menunjukkan harga pengguna rendah sedikit pada Mei namun harga teras kekal tidak berubah, jelas firma pembrokeran itu.

"Kami juga mendapati Hang Seng Futures berubah menjadi lebih positif, justeru kami menjangkakan sentimen positif melimpah dan meningkatkan FBMKLCI dalam tempoh terdekat," tambahnya.

Malacca Securities turut menjangkakan sektor teknologi mengukuh, didorong oleh kenaikan di Nasdaq dalam tempoh semalaman dan saham wajaran tinggi FBM KLCI diunjurkan berada dalam aliran lebih tinggi seiring dengan pasaran global.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah tiga sen kepada RM8.63 dan RM6.45 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing meningkat dua sen kepada RM3.83 dan RM4.92, dan Tenaga Nasional naik lima sen kepada RM9.17.

Kalangan saham aktif, Revenue menokok satu sen kepada 27.5 sen, Sarawak Consolidated naik setengah sen kepada 28.5 sen manakala EP Manufacturing menambah sembilan sen kepada 83.5 sen serta Sapura Energy dan Meta Bright masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan 17 sen.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 25.52 mata kepada 10,149.80; Indeks FBMT 100 menambah 24.83 mata kepada 9,851.28; Indeks FBM Emas Syariah menokok 24.48 mata kepada 10,474.71; Indeks FBM ACE naik 3.57 mata kepada 4,974.71 dan Indeks FBM 70 melonjak 45.18 mata kepada 13,394.95.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 3.10 mata kepada 781.91; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.19 mata kepada 157.87 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 42.47 mata kepada 15,162.0.

Walau bagaimanapun, Indeks Perladangan menguncup 2.96 mata kepada 6,642.04.

-- BERNAMA