Skip to main content

Dunia

Kanada ikrar kurangkan kebergantungan terhadap AS

71770358962_MarkCarney.jpg
Carney menekankan kedaulatan ekonomi dan perpaduan negara sambil menggariskan rancangan kerajaannya untuk mengutamakan bahan dan tenaga kerja buatan tempatan dalam projek akan datang. - Gambar fail

ISTANBUL: Perdana Menteri Kanada Mark Carney berkata negaranya akan mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat (AS) dalam perbelanjaan dan perolehan ketenteraan, sambil berikrar untuk memperkukuh industri domestik serta meluaskan kerjasama global.

Berucap pada konvensyen kebangsaan Parti Liberal di Montreal, Carney memberitahu para perwakilan bahawa “era apabila tentera kita menyalurkan 70 sen daripada setiap dolar kepada Amerika Syarikat sudah berakhir”, yang disambut dengan tepukan gemuruh, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan CTV.

Advertisement

Carney menekankan kedaulatan ekonomi dan perpaduan negara sambil menggariskan rancangan kerajaannya untuk mengutamakan bahan dan tenaga kerja buatan tempatan dalam projek akan datang.

“Kami akan membina Kanada yang kukuh dengan keluli Kanada, aluminium Kanada, kayu balak Kanada dan pekerja Kanada,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dengan Washington, termasuk tarif yang diperkenalkan di bawah Presiden AS Donald Trump. 

Carney berkata tarif Trump dilihat secara meluas sebagai ancaman segera utama, namun menegaskan cabaran yang lebih besar dan berkekalan ialah mengekalkan perpaduan serta semangat demi kepentingan bersama.

Mengulas dasar “Buy Canadian” kerajaan, Carney berkata inisiatif itu akan membantu memperkukuh komuniti di seluruh negara serta mengurangkan pergantungan terhadap pasaran luar. 

Beliau juga berkata bahawa Kanada menyasarkan untuk menggandakan eksport bukan ke AS dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Kenyataan itu dibuat selepas Pejabat Wakil Perdagangan AS mengkritik pendekatan perolehan Kanada dan menyifatkan dasar berkenaan sebagai unsur yang menjejaskan kelancaran perdagangan. 

Strategi industri pertahanan baharu Kanada pula bertujuan mempelbagaikan kerjasama pertahanan melangkaui AS, termasuk mempererat kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom. 

Pelan itu juga menyasarkan supaya 70 peratus kontrak pertahanan diberikan kepada firma domestik, mencerminkan usaha Ottawa untuk memperkukuh keupayaan negara dalam sektor berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video