JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto dijadual mengadakan lawatan ke Moscow pada hujung minggu ini untuk bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin bagi membincangkan perkembangan geopolitik dan isu tenaga.
Menteri Luar Sugiono berkata lawatan itu mencerminkan usaha Indonesia untuk melindungi kepentingan strategik dan tenaganya, lapor Agensi Berita ANTARA.
Advertisement
"(Presiden) akan berlepas minggu ini. Ini adalah sesuatu yang sangat strategik buat Indonesia. Beliau akan bertemu Presiden Putin," katanya pada Sabtu.
Lawatan itu dilakukan ketika kebimbangan mengenai krisis tenaga global semakin memuncak, terutamanya susulan konflik di wilayah Teluk serta gangguan pada laluan bekalan minyak, termasuk di Selat Hormuz.
Kunjungan Prabowo ke Rusia kali ini merupakan lawatan ketiganya, selepas lawatan kedua ke Moscow pada 10 Disember 2025, dan lawatan pertama ke Saint Petersburg dari 18 hingga 20 Jun 2025.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Prabowo telah melawat beberapa negara termasuk Jepun dan Korea Selatan sebagai usaha untuk mengurangkan kesan potensi krisis minyak global terhadap Indonesia.
-- BERNAMA