KUALA LUMPUR: Kemunculan kegiatan memburu saham murah dengan pembelian kebanyakannya dikesan membabitkan saham wajaran tinggi yang diterajui oleh Public Bank, mendorong dagangan di Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini selepas mengalami kerugian selama dua hari berturut-turut.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.15 mata kepada 1,499.18 daripada 1,496.03 pada penutupan urus niaga Isnin.

Indeks utama itu memulakan dagangan dengan 2.49 mata lebih tinggi untuk mencatatkan paras 1,498.52.

Public Bank melonjakkan indeks komposit sebanyak 1.32 mata selepas meningkat empat sen kepada RM4.68 dengan 383,800 saham bertukar tangan.

Pergerakan harga di pasaran adalah positif, menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 110 berbanding 92, manakala 201 kaunter tidak berubah, 1,870 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan yang direkodkan adalah sebanyak 152.39 juta unit bernilai RM36.45 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata beliau menjangkakan FBM KLCI akan bergerak stabil dalam julat 1,490-1,500 hari ini.

Sementara itu, beliau menambah harga minyak sawit mentah (MSM) kekal dalam aliran menaik dan berakhir pada RM4,070 satu tan, menjejaki kenaikan harga minyak kacang soya.

"Sekiranya ini berterusan, kami menjangkakan minat belian ke atas saham perladangan akan muncul kerana ringgit yang lemah pada masa ini turut menjadi pemangkin kepada harga MSM," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM8.90, Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM8.74 dan Tenaga naik tiga sen menjadi RM8.38, manakala IHH Healthcare dan CIMB tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM6.41 dan RM5.28.

Bagi saham aktif, G3 Global meningkat 1.5 sen kepada 5.5 sen, B.I.G Industries naik lima sen kepada 81 sen, dan Olympia dan Top Glove masing-masing menambah satu sen kepada lapan sen dan 99.5 sen, manakala Ho Wah susut setengah sen kepada 14.5 sen dan Hextar lemah satu sen kepada 35 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 18.95 mata kepada 10,642.53, Indeks FBMT 100 lebih tinggi sebanyak 17.77 mata kepada 10,389.6, Indeks FBM Emas Syariah menokok 4.14 mata kepada 10,771.23 dan FBM 70 mengembang 5.36 mata kepada 12,757.19.

Bagaimanapun, FBM ACE susut 3.0 mata kepada 4,852.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 50.9 mata kepada 16,703.68, Indeks Tenaga menambah 1.78 mata kepada 654.31, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.05 mata kepada 182.58 dan Indeks Perladangan susut 13.72 mata kepada 7,107.41.

-- BERNAMA