Skip to main content

Malaysia

Program Warisan Kita bentuk jati diri, seni anak muda Selangor

Borhan (tengah) bergambar bersama peserta- peserta pada Majlis Apresiasi dan Showcase Program Warisan Kita 'Jom Belajar Menari dan Gamelan' di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada Ahad. - Foto BERNAMA
Borhan (tengah) bergambar bersama peserta- peserta pada Majlis Apresiasi dan Showcase Program Warisan Kita 'Jom Belajar Menari dan Gamelan' di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada Ahad. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Program Warisan Kita 2026 anjuran PADAT berjaya menarik penyertaan 89 pelajar sekolah dalam usaha memupuk minat terhadap seni warisan Selangor.
  • Inisiatif seperti Jom Belajar Menari dan Syoknya Gamelan memberi peluang generasi muda mengenali, mempelajari dan menghayati seni tari serta muzik tradisional.
  • Kerajaan negeri dan PADAT komited memastikan warisan budaya terus dipelihara melalui pendidikan, latihan praktikal dan penganjuran pelbagai program kebudayaan.
Advertisement

SHAH ALAM: Program Warisan Kita 2026 anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berupaya membentuk generasi muda yang berbakat, berkeyakinan dan memiliki jati diri dengan kesenian warisan negeri itu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif menerusi dua pengisian utama iaitu Jom Belajar Menari dan Syoknya Gamelan itu berjaya menarik penyertaan 89 pelajar sekolah sepanjang 10 minggu pelaksanaannya di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

“Usaha memelihara warisan tidak boleh hanya bergantung pada penggiat seni sedia ada dan kita perlu memberikan perhatian pada usaha melahirkan generasi pelapis yang mempunyai minat, pengetahuan dan kemahiran untuk meneruskan khazanah seni yang telah diwariskan kepada kita.

Advertisement

“Justeru, program yang berlangsung sejak 20 Sept hingga 22 Nov ini menyediakan ruang dan peluang kepada anak muda untuk mengenali, mempelajari serta menghayati seni tari dan muzik tradisional, khususnya di Selangor memandangkan cabaran utama ketika ini adalah memastikan seni, budaya dan warisan terus diminati golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Showcase Program Warisan Kita 2026 di Auditorium Daeng Celak, Muzium Sultan Alam Shah di sini pada Ahad, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PADAT Aslynda Mohd Dahlan.

Advertisement

Borhan berkata kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan sentiasa menumpukan pada usaha pemeliharaan, pengembangan dan pewarisan seni budaya negeri, termasuk menerusi pendidikan warisan, bengkel seni serta penganjuran program kebudayaan.

“Kita sebelum ini telah memeriahkan Temasya Seni, Budaya dan Warisan dan Festival Makanan Warisan Selangor, manakala Simfoni Seni Cempuling dengan kerjasama Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam juga bakal berlangsung minggu depan.

“Di sebalik kemeriahan penganjuran festival dan program kebudayaan ini, kita juga perlu menekankan pada aspek pendidikan, pembangunan bakat dan pemindahan ilmu secara berterusan termasuk Program Warisan Kita yang menjadi platform untuk kita melahirkan pewarisnya," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap program berkenaan tidak menjadi pengakhiran pada perjalanan bidang seni dan kebudayaan untuk anak muda yang terlibat.

“Jangan sesekali berasa malu untuk meminati seni tradisional...anak-anak boleh mengikuti perkembangan teknologi, muzik dan budaya moden, namun perlu berbangga dengan seni, budaya dan warisan sendiri.

“PADAT juga bukan saja memberikan tumpuan pada aspek latihan malah turut boleh berperanan dalam mengembangkan dan mengetengahkan bakat mereka di pentas lebih besar melalui pelbagai program kebudayaan, festival dan majlis rasmi kerajaan negeri sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Aslynda berkata PADAT akan terus memfokuskan pada aspek pendidikan dan pembangunan generasi pelapis bagi memastikan khazanah warisan Selangor sentiasa dipelihara sebaik mungkin.

“Selain penyelidikan, pendokumentasian dan pameran, tanggungjawab itu merangkumi usaha mendekatkan lagi masyarakat dengan warisan melalui pendekatan pembelajaran secara langsung, latihan praktikal serta persembahan seni.

“Program Warisan Kita ini juga bukan sekadar melahirkan peserta yang mampu menari atau memainkan alat muzik tradisional, malah kita mahu menyemai nilai disiplin, kerjasama, keyakinan diri serta penghargaan terhadap kehalusan seni dan budaya masyarakat terdahulu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement