BISNES
Bursa Malaysia susut pada hari kedua berikutan sentimen melemah

Pada 5 petang, FBM KLCI turun 5.19 mata kepada 1,519.40 daripada 1,524.59 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut 0.34 peratus ketika ditutup pada Selasa, penurunan hari kedua berturut-turut berikutan kekurangan sokongan belian dan ketiadaan petunjuk kukuh daripada indeks serantau utama yang terus menjejaskan sentimen pasaran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.19 mata kepada 1,519.40 daripada 1,524.59 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.70 mata lebih tinggi pada 1,526.29 dan bergerak antara 1,518.75 dan 1,527.90 sepanjang sesi dagangan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 591 berbanding 412 manakala 472 kaunter tidak berubah, 1,004 kaunter tidak diniagakan dan tujuh kaunter yang lain digantung.Jumlah dagangan susut kepada 2.82 bilion unit bernilai RM2.05 bilion berbanding 3.5 bilion unit bernilai RM2.68 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI menunjukkan aliran menurun berikutan kekurangan sokongan belian memandangkan kebanyakan indeks serantau utama ditutup dalam wilayah negatif berikutan dagangan berhati-hati menjelang tarikh akhir 1 Ogos bagi kemungkinan pengenaan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS).
"Para pelabur berhati-hati terhadap pelbagai faktor luaran memandangkan ketidaktentuan pasaran serantau yang semakin meningkat dan ketidakpastian prospek ekonomi global.
"Kami mengambil kira prospek jangka pendek kekal tidak menentu walaupun aktiviti belian pada harga rendah mungkin berlaku, justeru kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat antara 1,510 hingga 1,540 sepanjang baki minggu ini dengan paras sokongan segera pada 1,510 dan paras rintangan pada 1,530," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Jun yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia memberikan kelegaan sementara kepada pasaran.
Beliau berkata inflasi keseluruhan pada Jun terus mereda kepada 1.1 peratus tahun ke tahun berbanding 1.2 peratus pada Mei, yang merupakan kadar paling rendah dicatatkan bagi 2025.
"Sehubungan itu, FBM KLCI mencatatkan penurunan kecil untuk sesi kedua berturut-turut, menggambarkan bentuk pasaran yang cenderung mengelak risiko di tengah-tengah prestasi sektor yang berbeza-beza.
"Trend pengurangan kadar inflasi ini memberikan dorongan positif kepada ekuiti berorientasikan pengguna, terutamanya dalam segmen perdagangan runcit dan budi bicara pengguna memandangkan peserta pasaran mengambil kira prospek perbelanjaan isi rumah yang mampan walaupun ketidaktentuan fiskal yang berterusan menyelubungi peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta persekitaran permintaan luaran yang lemah," tambah beliau.
Dari segi aliran modal, pelabur institusi asing kembali sebagai penjual bersih semalam, selepas melakukan pembelian bersih dalam tempoh singkat.
"Tindakan itu menunjukkan sentimen mengelak risiko yang berterusan berkaitan dengan risiko dasar perdagangan luar negara, dengan pasaran memberi perhatian khusus kepada tarikh akhir rundingan tarif dua hala Malaysia dengan AS, satu risiko utama yang berpotensi mempengaruhi kedudukan pelabur dalam jangka masa terdekat," katanya.
Di peringkat serantau, sentimen pasaran mendapat sedikit peningkatan dari Hong Kong, di mana Indeks Hang Seng mencatatkan kenaikan harian berturut-turut kali ketiga, meningkat 0.5 peratus untuk ditutup kepada 25,130.03, paras tertinggi dalam lebih setahun.
Di pasaran lain, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.24 peratus kepada 4,196.98, Kospi Korea Selatan susut 1.27 peratus kepada 3,169.94 dan Nikkei 225 Jepun turun 0.11 peratus kepada 39,774.92.
Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi Maybank dan Public Bank masing-masing meningkat satu sen kepada RM9.53 dan RM4.31, CIMB bertambah tiga sen kepada RM6.55, Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM13.78 manakala IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM6.60.
Dalam kalangan saham paling aktif, Tanco naik setengah sen kepada 91 sen, Zetrix susut satu sen kepada 92.5 sen, NexG kekal tidak berubah pada 50.5 sen dan Pharmaniaga merosot setengah sen kepada 21.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 42.20 mata kepada 11,419.73, Indeks FBMT 100 susut 42.88 mata kepada 11,181.94 dan Indeks FBM Emas Syariah jatuh 62.36 mata kepada 11,447.35.
Indeks FBM 70 merosot 84.01 mata kepada 16,555.87, manakala Indeks FBM ACE susut 13.08 mata kepada 4,624.60.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 0.67 mata kepada 740.17, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 9.74 mata kepada 17,310.67, Indeks Perladangan merosot 24.89 mata kepada 7,396.15 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.60 mata kepada 154.04.
Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 1.18 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 1.38 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.31 bilion unit bernilai RM205.15 juta berbanding 1.75 bilion unit bernilai RM265.26 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 322.4 juta unit bernilai RM109.22 juta daripada 363 juta unit bernilai RM147.63 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 176.58 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan industri (199.34 juta), pembinaan (107.34 juta), teknologi (219.35 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (64.74 juta), hartanah (167.49 juta), perladangan (10.88 juta), REIT (22.49 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (50.69 juta), penjagaan kesihatan (76.35 juta), telekomunikasi dan media (39.95 juta), pengangkutan dan logistik (24.88 juta), utiliti (22.21 juta), dan amanah perniagaan (308,300).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami