Pengumuman peletakan jawatan Jack Ma sebagai Pengerusi Alibaba tidak akan menjejaskan kredibiliti syarikat e-dagang terbesar di China itu.

Komuniti peniaga dalam pasaran e-dagang yang menyertai CAEXPO ke-15 di sini rata-rata menyifatkan pengunduran Jack Ma tidak akan memberi kesan terhadap kredibiliti syarikat tersebut.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Al Meswak Mu’min Sdn Bhd, Datuk Zaihal Hazri Abdul Halim, platform e-dagang yang dibangunkan oleh Jack Ma adalah platform yang sudah stabil dan tidak akan menjejaskan pengguna mahupun peniaga.

“Platform Alibaba itu sendiri adalah platform yang berjaya dan sudah stabil untuk pengguna mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“Syarikat kami sendiri menggunakan platform Alibaba dan saya rasa pengunduran Jack Ma tidak akan memberi kesan walaupun untuk jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Bagi Pengurus Kanan Biotropics Malaysia, Nik Fahmi Mokhtar, strategi Jack Ma memacu kejayaan syarikat e-dagang itu akan membantu meneruskan kejayaan syarikat tersebut walaupun dia melepaskan jawatannya di firma perdagangan elektronik terbesar tersebut.

Pengurus Kanan Biotropics Malaysia, Nik Fahmi Mokhtar
“Jack Ma adalah peneraju utama syarikat e-dagang itu dan segala strategi yang dirancang tidak akan menjejaskan reputasi syarikat tersebut.

“Walaupun pesaing platform e-dagang baharu muncul yang akan menjejaskan reputasi syarikat tersebut, apa yang penting adalah mutu dan kualiti pengguna platform tersebut.

“Ini kerana saya percaya, jika mana-mana syarikat kekalkan reputasi mereka, pembeli tidak akan berpaling tadah walaupun menggunakan platform e-dagang yang lain,” jelasnya.

Terdahulu, Pengasas dan pengerusi, Alibaba Group Holding Ltd, Jack Ma, umum melepaskan jawatannya di firma perdagangan elektronik terbesar itu pada 10 September 2019 menyerahkan tugas kepada ketua pegawai eksekutif Daniel Zhang.

BACA: Pengasas bersama Alibaba, Jack Ma bakal bersara

BACA: Jack Ma berundur Sept 2019, Daniel Zhang sebagai pengganti