Cagamas SRP Berhad menjangkakan kelayakan bagi pembiayaan Skim Rumah Pertamaku (SRP) akan melepasi 50 peratus menjelang 2021.

Menurut Pengerusi Cagamas SRP Berhad Datuk Bakarudin Ishak, peningkatan itu akan disumbang oleh inisiatif Digital SRP.

Bakaruddin berkata Digital SRP itu bukan sahaja menjimatkan masa malah ia akan memudahkan urusan pembeli tanpa perlu pergi ke bank secara fizikal.

“Digital SRP memberikan calon pembeli rumah kali pertama akses baharu kepada lebih 130,000 hartanah yang mana lebih 50 peratus daripadanya adalah layak di bawah SRP.

“Ia juga menyediakan bantuan daripada hampir 2,000 ejen hartanah daripada 300 agensi di seluruh negara.

“Kami berharap Digital SRP akan mendorong peningkatan lebih daripada 50 peratus pinjaman SRP kumulatif kepada 12.6 bilion menjelang 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Digital SRP di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada Khamis.

Menerusi kerjasama bersama dua portal teknologi iaitu Didian dan MHub, Cagamas SRP menjangkakan peningkatan kumulatif pinjaman SRP yang diluluskan kepada 14,400 pada 2020 daripada asas kumulatif 26,213 dengan jumlah pembiayaan RM9 bilion.

Setakat June 2020, SRP telah memanfaatkan sekitar 33,000 pembeli rumah kali pertama, yang mana 90 peratus terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40), untuk memperoleh pembiayaan berjumlah RM6.8 bilion sejak pelancarannya pada 2011.

SRP merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu pembeli rumah kali pertama yang layak mendapatkan pembiayaan sehingga 110 peratus daripada bank yang mengambil bahagian bagi membolehkan mereka memiliki rumah tanpa membayar wang pendahuluan.

Sekitar 71 peratus permohonan yang diluluskan adalah daripada Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Melaka.

Purata saiz pinjaman ialah RM206,450 dengan 86 peratus pemohon yang berstatus lulus berumur antara 25 hingga 40 tahun.

Daripada jumlah berkenaan, 27,600 pemohon (84 peratus) daripada permohonan adalah pembiayaan Islam manakala bakinya iaitu 5,400 (16 peratus) merupakan pinjaman konvensional.