Skip to main content

Malaysia

Lelaki pandu melulu, berbahaya rempuh beberapa kenderaan, miliki 17 rekod lampau

Sumber: Sinar Harian
Tangkap layar video yang memaparkan kenderaan pacuan empat roda dipandu melulu dan secara berbahaya. - Foto SInar Harian

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memandu secara melulu serta berbahaya dengan melanggar beberapa kenderaan di Seberang Jaya semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi itu, suspek berusia 29 tahun yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipercayai bertindak agresif sebelum berjaya ditahan orang awam di Lebuhraya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) berhampiran sebuah stesen minyak di Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berkenaan sebelum anggota dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua menuju ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan di sepanjang laluan tersebut.

“Suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Lebuhraya BKE berhadapan sebuah stesen minyak di Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sebuah beg silang yang disandang pada badannya.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat anggaran 0.75 gram serta satu lagi peket plastik lutsinar mengandungi hablur putih disyaki ketamin seberat anggaran 2.38 gram,” katanya.

Menurut beliau, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan jenayah,” katanya.

Nik Aminuddin berkata, suspek telah ditangkap dan kes dadah disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini bagi permohonan reman.

Dalam masa sama, beliau berkata, siasatan berkaitan kemalangan jalan raya sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

Tambah beliau, polis kini sedang mengesan semua mangsa serta saksi bebas yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor K Vignesh di talian 011-14572390 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Terima kasih kepada orang awam yang membantu menahan suspek sehingga tindakan lanjut dapat diambil dengan segera. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu tular beberapa klip video dan gambar mengenai kejadian berkenaan yang memaparkan sebuah pacuan empat roda dipandu secara melulu dan berbahaya selain dipandu sebingga ke atas pembahagi jalan di Seberang Jaya.

Kenderaan itu juga didapati dipandu secara mengundur menyebabkan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal terpaksa mengelak kerana bimbang dilanggar. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement