KUALA LUMPUR: Kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, komited untuk terus memperkukuh sistem perlindungan sosial negara agar lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap keperluan tenaga kerja masa kini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata perkara itu dikongsikan beliau yang mengetuai delegasi Malaysia semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed di Geneva, Switzerland.
Ramanan berkata kerajaan juga akan memastikan setiap reformasi yang dilaksanakan mengambil kira keseimbangan antara kebajikan pekerja dengan daya saing majikan demi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Dalam sesi tersebut, saya telah berkongsi pelbagai pencapaian dan reformasi perundangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI bagi memperkukuh kebajikan, perlindungan sosial serta kesejahteraan pekerja di Malaysia.
“Antara perkara yang diketengahkan ialah pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang telah berkuat kuasa pada 31 Mac 2026, sebagai langkah penting dalam memastikan lebih 1.6 juta pekerja gig menikmati perlindungan sepanjang masa dan hak yang lebih terjamin selaras dengan perkembangan dunia pekerjaan semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada kunjungan itu, Ramanan berkata beliau turut berkongsi mengenai pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam yang berkuat kuasa pada 1 Jun lepas.
Skim berkenaan, katanya, menyediakan perlindungan keselamatan sosial secara menyeluruh kepada lebih sembilan juta pekerja di Malaysia tanpa mengira masa dan lokasi kemalangan, termasuk di luar waktu bekerja.
Skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial lebih meluas di Malaysia termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Dalam pada itu, Ramanan berkata kunjungan berkenaan juga membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan amalan terbaik dalam bidang keselamatan sosial, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik Malaysia dengan ISSA dalam usaha memperkasakan agenda perlindungan sosial pada peringkat antarabangsa.
Yang turut hadir pada kunjungan itu ialah Setiausaha Agung ISSA Marcelo Abi-Ramia Caetano, Pengerusi Suruhanjaya Kawalan ISSA Fabian Pilzecker serta Pengarah Tadbir Urus, Hubungan dan Wilayah ISSA Jens Schremmer.
Hadir sama, Penyelaras Serantau ISSA bagi Asia dan Pasifik Indrajid Nurmukti, Pegawai Khas kepada Presiden ISSA Mas Ari Amry A. Rahman, serta Pegawai Khas kepada Pengerusi Suruhanjaya Kawalan ISSA Katharina Kirn.
-- BERNAMA